Cabaran MCM lunaskan misi - Utusan Malaysia

Cabaran MCM lunaskan misi

Anggota sukarelawan menyerahkan bantuan kepada penduduk Kuala Sungai Balung pada Misi Bantuan Kemanusiaan Sabah oleh Muslim Care Malaysia (MCM) bagi meringankan beban yang terjejas akibat wabak Covid-19 di Semporna , semalam. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Muslim Care Malaysia (MCM) meneruskan misi bantuan kemanusiaan di sekitar Tawau dan Semporna semalam setelah mempertimbangkan lokasi tersebut antara yang paling terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak Covid-19.

Bantuan berkenaan diserahkan Presiden MCM, Zulkifli Wahijan kepada 55 penerima manfaat di dua kawasan iaitu kampung Pengkalan Arang dan Kuala Sungai Balung, Tawau.

Sebanyak 300 set makanan asas diserahkan kepada penduduk kampung di sekitar Pulau Mabul dan Pulau Bodgaya, Semporna, semalam,

Turut menyerahkan bantuan berupa bekalan makanan asas itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dilantik negeri Sabah merangkap Setiausaha Perhubungan Pas Negeri Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan.

Antara lain, cabaran dihadapi MCM dengan menaiki bot ke kawasan kampung atas air dengan keadaan ombak besar, berangin dan panas terik yang sedikit seba­nyak memperlahankan gerak kerja MCM dalam melunaskan misinya.

Menurut Zulkifli, walaupun berdepan cabaran yang memang diduga sejak awal, kerja-kerja agihan tetap berjalan lancar.

Katanya, ini tambah pula de­ngan masalah teknikal apabila enjin bot mengalami kerosakan yang menyebabkan bot terpaksa berhenti lebih sepuluh kali di tengah laut bergelora dan jauh dari tanah besar Semporna.

“Sepatutnya untuk sampai ke destinasi hanya mengambil masa kurang 30 minit tapi disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan menyebabkan dua jam masa yang diambil.

“Apa yang penting adalah misi dan amanah kita untuk membantu golongan rentan seperti penduduk kampung di sini. Kehidupan mereka sangat daif dan sedih. Kita mesti bantu sedaya upaya dalam keadaan yang tidak menentu sekarang ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Salah seorang penduduk Bajau Laut, Sanaida Ammah, 38, berkata, bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan beban yang terpaksa ditanggung apabila dia perlu menyara lapan orang anaknya berumur antara empat sehingga 19 tahun.

Ketika ini, Sanaida tidak memerlukan sebarang bantuan selain bekalan makanan kerana dia sudah terputus bekalan itu sejak beberapa minggu dan hanya bergantung dengan hasil laut seperti ikan dan ketam.

“Saya tidak bekerja sebaliknya suami saya yang akan mencari makanan untuk kami sekeluarga. Itu pun hanya cukup-cukup sahaja sebab hasil laut yang diperoleh tidak menentu,” katanya.

Misi bantuan kemanusiaan Sabah berlangsung sehingga Selasa ini dan mendapat kerjasama TUDM, Geng Talaqqi, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau dan Surau Al Muhsinin, Petronas. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN