PETALING JAYA: Suspek utama kes pembunuhan Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan IKRAM Malaysia, Nik Khatijah Nik Mud, 32, disambung reman selama enam hari sehingga Jumaat ini.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, reman pertama terhadap lelaki berkenaan tamat pada Ahad lalu.
“Suspek disambung reman bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan sebelum ia dibawa untuk proses pendakwaan di mahkamah.
“Reman tamat Ahad lalu dan pada hari sama kita memohon reman disambung yang akan berakhir Jumaat ini,” katanya ketika dihubungi harinini.
Selasa lalu, media melaporkan polis menahan suspek berusia 57 tahun itu bagi membantu siasatan kes bunuh mangsa yang ditemukan mati dengan kesan jerut pada lehernya di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang di sini pada 8 Mac lalu.
Lelaki itu ditahan di sekitar Kajang kira-kira pukul 8.45 malam pada hari sama.- UTUSAN ONLINE