Buntu cari wang, wanita sanggup bunuh jiran - Utusan Malaysia

Buntu cari wang, wanita sanggup bunuh jiran

Suami isteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Gara-gara terdesak mencari wang, seorang wanita sanggup membunuh jirannya sebelum mayatnya disorok di bawah katil dalam kediamannya di tingkat dua sebuah blok pangsapuri di Persiaran Subang Mewah, USJ 1 di sini.

Tindakan itu bagaimanapun terbongkar apabila wanita berusia 39 tahun itu ditahan bersama-sama suaminya semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya,Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pada mulanya, satu siasatan dijalankan pihaknya polis berhubung kes kehilangan seorang peniaga kuih warga Indonesia oleh suaminya sejak Sabtu lalu.

Kata beliau, laporan polis dibuat suami mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 47 tahun.

“Suami mangsa yang pulang ke rumah kira-kira pukul 7 malam mendapati pintu hadapan rumahnya tidak berkunci.

“Sebelum dia mendapati isterinya yang berusia 54 tahun tiada dirumah, namun, barangan peribadi termasuk telefon bimbitnya masih ada di dalam rumah.

“Disebabkan gagal mencari isterinya, lelaki itu membuat laporan polis di Balai Polis UJS 8 pada pukul 12.01 tengah malam semalam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Abd Khalid memberitahu, kali terakhir suami mangsa bertemu dan berhubung dengannya kira-kira pukul 1.20 dan 3.45 petang, kelmarin.

“Semasa diambil keterangan, suami mangsa mengesyaki kehilangan isterinya ada kaitan dengan jiran mereka yang rumahnya terletak hanya kira-kira 10 meter.

“Ini kerana dia ada mendengar cerita mengatakan jirannya menggadaikan barang kemas tidak lama selepas isterinya hilang dan mengetahui wanita berkenaan ada masalah kewangan serta hutang,” jelasnya.

Susulan daripada itu, kata beliau, suspek kemudiannya dipanggil ke Balai Polis USJ 8 pada pukul 3 petang, semalam untuk disoal siasat.

Namun, selepas hampir tiga jam, suspek akhirnya mengaku membunuh mangsa di kediamannya.

“Rentetan daripada itu, suspek dibawa ke rumahnya oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Subang Jaya kira-kira pukul 8 malam sebelum menunjukkan mayat mangsa yang diselubung dengan selimut disorok di bawah katil.

“Siasatan mendapati, pada awalnya suspek dikatakan menelefon mangsa memintanya datang ke rumah dengan alasan tangannya cedera dan membantu menjaga dua anaknya yang berusia setahun dan tiga bulan kira-kira pukul 4 petang kelmarin.

“Sebelum suspek mendakwa dia menghentak belakang badan mangsa dengan tangan sehingga terjatuh sebelum menghentak kepala mangsa ke lantai,” jelasnya.

Dalam pada itu, ujar Abd Khalid, motif pembunuhan ini dipercayai berpunca masalah kewangan dihadapi suspek dan terdesak membayar hutang berjumlah kira-kira RM5,000.

“Mangsa  memakai banyak barang kemas dan mungkin ia mendorong suspek membunuh mangsa bagi mendapatkan barang kemas terbabit dan menggadainya untuk melangsaikan hutang.

“Buat masa ini, kita masih mengesan barang kemas terdiri daripada rantai leher dan gelang yang dikatakan sudah digadai suspek dan tidak dapat pastikan jumlahnya,” jelasnya.

Tambah Abd  Khalid, ketika kejadian suami suspek, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dan bekerja sebagai kru produksi tiada di rumah namun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam pagi ini bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya