Bunga Cat's Claw Creeper mekar, ubah wajah landskap Gunung Lang - Utusan Malaysia

Bunga Cat’s Claw Creeper mekar, ubah wajah landskap Gunung Lang

POKOK bunga Cat's Claw Creeper di Taman Rekreasi Gunung Lang di Ipoh yang mula mekar dan mengeluarkan bunga berwarna kuning keemasan sejak Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Landskap di Taman Rekreasi Gunung Lang di sini berubah wajah apabila pokok bunga Cat’s Claw Creeper mula mekar dan mengeluarkan bunga berwarna kuning keemasan sejak Isnin lalu.

Keindahan memukau bunga daripada pokok dengan nama saintifiknya dolichandra quadrivalvis itu bakal menjadi tarikan terbaru pengunjung ke taman rekreasi berkenaan.

Penolong Arkitek Landskap Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Noor Sauwiya Shari berkata, tanaman hiasan jenis menjalar itu ditanam MBI pada 1999 dan merupakan satu-satunya yang ditanam di bandar ini.

Katanya, pokok berasal dari kawasan hutan Amerika Latin dan Caribbean itu sukar untuk berbunga dan pertama kali mempamerkan tarikannya pada 2013.

“Untuk berbunga lebat, tumbuhan ini perlu kepada cuaca terlampau panas, lazimnya pada pertengahan Mac setiap tahun. Sejak ditanam, hanya beberapa kali ia mengeluarkan bunga iaitu pada 2013 dan 2017.

“Pada tahun ini, fenomena musim panas yang melanda negara menyebabkan pokok itu kembali berbunga dan lebih menarik apabila ia paling lebat kerana mengeluarkan bunganya serentak,” katanya di sini hari ini.

Noor Sauwiya berkata, keindahan Cat’s Claw yang menjalar dan ‘memayungi’ pondok-pondok di taman tersebut akan menjadi lokasi terbaharu lensa kamera pengunjung.

Malah katanya, ibarat berada di luar negara, pengunjung yang hadir juga boleh melihat warna bunga keemasan itu semasa mereka menaiki bot.

“Ketahanan bunga ini bergantung kepada cuaca khususnya hujan. Ia berbunga di penghujung musim kemarau yang menandakan musim hujan akan tiba.

“Bunga yang berkembang ini tidak lama, apabila hujan, bunga-bunga ini akan mula gugur,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya