KUANTAN: “Angin kuat luar biasa menyebabkan bumbung garaj saya terbang dan menghempap rumah jiran yang terletak kira-kira 100 meter,” kata warga emas, 1Anuar Mohamed, 60, menceritakan semula detik cemas kejadian kepala angin di Kampung Balok, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, hampir 70 buah rumah dan rumah kedai mengalami kerosakan bumbung akibat diterbangkan angin serta ditimpa pokok tumbang.
Anuar berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di dalam bilik sebelum terdengar jeritan isterinya, Sharifah Nur Asmah Syed Alwi, 57, dari arah ruang tamu lalu dia bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.
“Saya terkejut melihat sebahagian bumbung rumah sudah tiada dan kejadian itu berlaku sangat pantas. Saya keluar melihat keadaan di luar selepas ribut reda dan terkejut apabila jiran beritahu bumbung garaj saya menghempap rumahnya,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi penduduk, Yunus Mohd. Yasin, 72, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan seorang pekerja sedang mengemas untuk menutup kedai sebelum tiba-tiba angin kencang datang menyebabkan keadaan huru-hara.
“Angin kuat seperti ribut taufan menyebabkan meja dan kerusi di kedai saya bergerak dan saya tersepit antara meja ketika cuba menahan meja itu, dalam masa sama bumbung kedai turut diterbangkan angin.
“Isteri saya mengalami cedera ringan pada bahagian muka apabila terkena pinggan yang terbang namun kami tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku. sudah 12 tahun saya berniaga di sini dan ini kali pertama ribut kuat seperti ini berlaku di sini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, seramai 150 penduduk terjejas akibat kejadian ribut itu membabitkan 70 rumah dan rumah kedai yang mengalami kerosakan 20 peratus hingga 80 peratus.
“Kita sedang dalam usaha untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada mangsa ribut ini dan pastinya akan ada bantuan yang akan dihulurkan sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan.
“Bagaimanapun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) turut meninjau keadaan mangsa serta menyampaikan bantuan awal,” katanya.
Beliau berkata, tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara kerana kebanyakan mereka memilih untuk menumpang di rumah saudara mara walaupun pihaknya bersedia untuk menempatkan mereka di kemudahan tersebut.- UTUSAN ONLINE