PETALING JAYA: Polis telah memangil pasangan kekasih yang memuat naik hantaran di media sosial mereka didakwa dikompaun RM10,000 yang sedang makan dan minum di Cheras, dekat sini.
Pasangan tersebut dipanggil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, petang semalam.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, berdasarkan siasatan awal, pasangan itu dikenakan kompaun oleh sepasukan pegawai penguat kuasa daripada sebuah agensi kerajaan.
“Pasangan berkenaan dikesan memuat naik kenyataan mereka dikompaun sedang makan dan minum selain kecewa dengan tindakan penguat kuasa yang dianggap mengeluarkan kompaun secara salah dan tidak masuk akal.
“Hasil siasatan yang dibuat mendapati bukan pihak polis yang mengeluarkan kompaun berkenaan, sebaliknya satu pasukan penguat kuasa daripada sebuah agensi kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah beliau, polis sudah merakam percakapan ke atas kedua-dua pasangan terbabit bagi membantu siasatan.
“Kita juga akan meneliti kes berkenaan selain merujuk dakwaan pasangan itu kepada Kementerian Kesihatan yang berperanan sepenuhnya atas kompaun yang dikeluarkan,” jelasnya.
Semalam, pasangan itu memuat naik situasi kejadian yang berlaku di mana mereka mendakwa masih memakai pelitup muka semasa membuat pesanan kira-kira pukul 11.14 pagi.
Bagaimanapun, mereka menanggalkan pelitup muka sebaik minuman mereka dihidangkan pada pukul 11.16 pagi.
Namun pada 11.37 pagi, mereka mendakwa didatangi sekumpulan sepuluh pegawai semasa makanan dan minuman berada di atas meja sebelum pegawai terbabit mengarahkan mereka mengeluarkan kad pengenalan untuk tindakan kompaun. – UTUSAN ONLINE