Bukan kesalahan UMNO persoal dasar kerajaan PN - Utusan Malaysia

Bukan kesalahan UMNO persoal dasar kerajaan PN

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Tanpa menamakan mana-mana pihak, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pasukan propaganda kumpulan tertentu terus bermain naratif bahawa UMNO tidak sepatutnya mempersoalkan dasar-dasar kerajaan sedia ada secara terbuka di media sosial. 

Ujar Ahmad Zahid, pihak berkenaan memberi alasan bahawa ahli Parlimen UMNO merupakan sebahagian pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk menjadi anggota Kabinet dan segala persoalan boleh disalurkan kepada mereka.

Sebaliknya, beliau berkata, perkara itu sudah banyak kali diperjelaskan dan mereka mempertikaikannya masih tidak tahu atau buat-buat tidak tahu.

“Oleh itu, hari ini saya terangkan semula. Pertama, kerajaan yang mentadbir negara hari ini adalah kerajaan PN, bukan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Muafakat Nasional (MN). Kedua, UMNO bukan sebahagian kerajaan PN. UMNO cuma menyokong pembentukan kerajaan PN.

“Ketiga, adalah media sosial antara platform UMNO untuk menyuarakan permasalahan rakyat dan negara terutama pada waktu Parlimen terus digantung. Maka, berdasarkan tiga perkara tersebut, bukanlah menjadi suatu kesalahan atau halangan untuk UMNO terus membangkitkan isu berkait kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Isu hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta PN kembali hangat selepas Ahmad Zahid sebelum ini menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyatakan kebersamaan parti itu dengan Bersatu dan PN hanya diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Surat bertarikh 26 Februari yang dihantar kepada Muhyiddin itu memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk tidak bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan, tidak dinafikan bahawa ahli Parlimen BN menganggotai kerajaan PN, namun beliau percaya mereka tidak boleh membuat keputusan secara individu dan mengemukakan isu dibangkitkan UMNO.

Katanya, hal ini kerana, sebarang ketetapan masih perlu dibuat melalui kerajaan yang didominasi pimpinan parti lain. 

“Justeru itu, media sosial sebagai saluran UMNO yang seterusnya dalam usaha menyampaikan mesej rakyat kepada kerajaan secara lebih jelas atau ‘direct sound’. Lagipun memang menjadi tanggungjawab UMNO parti keramat agama, bangsa dan negara mengetengahkan segala isu yang memanfaatkan rakyat dan negara.

“Kesimpulannya, UMNO bukanlah lagi pembuat dasar seperti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14. Jika BN masih mentadbir negara, UMNO boleh terus mengambil tindakan seeloknya.

“Insya-Allah, apabila rakyat kembali beri kepercayaan kepada UMNO dan BN mentadbir negara pada PRU-15, yang baik kita jadikan teladan, yang tidak baik dijadikan sempadan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya