Budak umur 13 tahun pun boleh jadi ahli Pas - Utusan Malaysia

Budak umur 13 tahun pun boleh jadi ahli Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Persatuan Pengundi Muda menempelak kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung pengundi bawah 21 tahun dengan menyifatkan mereka sebagai ‘rakyat mentah’.

Pengasas persatuan itu, Tharma Pillai dalam nada kesal berkata, kenyataan terbaharu tokoh politik berkenaan jelas bercanggah dengan kenyataannya pada 2019 lalu.

“Ketika itu, beliau menyatakan bahawa penurunan umur pengundi Malaysia kepada 18 tahun adalah perlu dan bertegas, kerajaan jangan guna alasan mentah untuk membantah usul undi 18 tahun.

“Ini adalah kenyataan rasmi beliau pada 2019, maka ‘u-turn’ dari beliau nampak hipokrit dan hanya berasaskan kepentingan politik Pas, bukannya atas prinsip demokrasi,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia bagi mengulas kenyataan Abdul Hadi mengenai penangguhan pendaftaran automatik dan kelayakan pemilih berusia 18 tahun pada 1 Julai ini.

Ahli Parlimen Marang itu dalam nada sindiran menganggap kelompok pengundi belum 21 tahun tersebut sebagai rakyat mentah dan cuma akan memilih kerajaan yang mentah juga.

Mengulas lanjut, Tharma berkata, Abdul Hadi ada mendakwa pengundi kena berasaskan ‘kematangan’ dan bukan umur kerana berusia 40 tahun pun belum tentu matang.

“Sebagai pemimpin kerajaan, beliau harus menyatakan dengan jelas apakah mekanisme untuk mengukur kematangan. Kita sedia maklum bahawa budak umur 13 tahun pun sudah boleh jadi ahli Pas.

“Takkanlah budak kecil sudah cukup matang untuk berpolitik dalam parti itu tetapi orang dewasa peringkat muda pula tidak cukup matang lagi untuk mengundi?” soalnya.

Justeru ujar beliau, organisasi tersebut yang lebih dikenali sebagai Undi18 itu akan bertindak untuk membawa isu berkenaan ke mahkamah bagi ‘mengajar’ kerajaan kerana berdolak-dalik.

Usaha tersebut juga untuk meminta mahkamah mengarahkan kerajaan agar melaksanakan penurunan had umur pengundi sebelum pendaftaran pemilih boleh dibuat secara automatik. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya