MUAR: Kerajaan perlu mencari penyelesaian untuk mengadakan Sidang Parlimen dalam masa terdekat termasuk mempertimbang mengadakan persidangan itu secara atas talian bagi membahaskan isu-isu kepentingan rakyat.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan yang takut pada institusi demokrasi tersebut adalah kerajaan yang tidak menghormati suara dan mandat rakyat.
“Sekalipun bermacam-macam alasan yang dibuat oleh kerajaan untuk mengelak dari Parlimen bersidang, buat sahaja persidangan secara dalam talian.
“Kalau sekumpulan orang muda boleh sahaja buat Parlimen Digital untuk 222 wakil Parlimen Digital bersidang, mengapa kerajaan tidak ada ikhtiar untuk berbuat perkara yang serupa.
“Saya pasti sebenarnya banyak sahaja peluang untuk Parlimen dan kerajaan buat persiapan untuk bersidang. Kalau nak buat ujian calitan setiap minggu kepada ahli Parlimen pun, buatlah asalkan dapat bersidang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, tidak ada Sidang Parlimen diadakan dalam tempoh Darurat bersandarkan kepada beberapa faktor termasuk keutamaan memerangi Covid-19.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kerajaan malangnya enggan untuk melihat hal Parlimen bersidang dengan serius.
Kata beliau, keputusan itu menandakan sudah dua kali Parlimen ditutup dan tidak boleh bersidang yang menyebabkan Ahli-Ahli Parlimen tidak dapat berbahas, meluluskan rang undang-undang serta membawa isu dan masalah rakyat.
“Saya cukup hairan dengan keputusan ini lebih-lebih lagi apabila kerajaan menggunakan alasan darurat dan risiko tinggi ahli Parlimen untuk bersidang.
“(Sedangkan) nak buka pasar malam waktu darurat, boleh. Nak buka sekolah untuk anak-anak murid waktu darurat, boleh. Nak buka panggung wayang waktu darurat pun boleh. Tapi nak buka Parlimen bersidang untuk bahas soal rakyat dan negara, tiba-tiba tak boleh,” katanya.
Beliau juga pada masa sama mempersoal sama ada kerajaan berpura-pura tidak mendengar titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bertitah membenarkan persidangan itu dalam tempoh darurat.
“Adakah kerajaan pura-pura tidak nampak bahawa pemimpin parti politik pemerintah siang malam bermesyuarat dan merencana gerakan politik dan pilihan raya.
“Kalau menteri-menteri boleh buat jelajah dari negeri ke negeri untuk mesyuarat pilihan raya dan canangkan kepada semua rakyat tentang persiapan mereka, mengapa Parlimen tidak boleh bersidang,” katanya. -UTUSAN ONLINE