Bot nelayan Vietnam pamer tanda nama seperti bot tempatan ditahan - Utusan Malaysia

Bot nelayan Vietnam pamer tanda nama seperti bot tempatan ditahan

BOT dinaiki nelayan terbabit yang berjaya ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili selepas menceroboh perairan negara di kedudukan 19 batu nautika timur laut Pulau Aur, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Cubaan nelayan Vietnam yang ‘menyamar’ sebagai nelayan tempatan tidak berjaya apabila seramai 24 nelayan disyaki dari negara itu berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili selepas menceroboh perairan negara, pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohamad Sulhan Zainon berkata, kesemua nelayan termasuk tekong berumur 21 hingga 60 tahun ditahan pada kedudukan kira-kira 19 batu nautika timur laut Pulau Aur pada pukul 10.32 pagi.

Katanya, semasa menjalankan operasi, pihaknya telah mengesan dua bot yang mencurigakan dan disyaki bot penangkapan ikan asing dengan mempamerkan carving marking (tanda nama) seperti bot nelayan tempatan.

“Kedua-dua bot tersebut cuba melarikan diri daripada diperiksa apabila melihat kelibat Maritim Malaysia sehingga memaksa pihak berkuasa mengejar mereka sebelum berjaya dipintas tidak lama kemudian.

“Semasa pemeriksaan, didapati sebahagian kru serta tekong gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM 6.4 juta termasuk kedua-dua bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan laut dan bahan bakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Sulhan berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia.

Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh dikenakan denda RM6 juta, manakala awak-awak boleh dikenakan denda sehingga RM600,000 setiap seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya serta kedua-dua bot serta peralatannya boleh dilucut hak.

Tambahnya, kes juga akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6 (1)(c) yang boleh membawa kepada denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua 24 tahanan juga telah diperiksa untuk saringan kesihatan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga dalam membendung penularan wabak yang sedang melanda.

“Maritim Malaysia sentiasa serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.

“Kami akan menggandakan usaha untuk mencegah berlakunya kejadian rompakan di laut serta dengan sedaya upaya mengekang pencerobohan vesel penangkapan ikan asing khususnya daripada Vietnam di Perairan Johor Timur daripada menghantui komuniti maritim setempat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya