ARAU: Mengisi masa terluang yang panjang di rumah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, mencetus idea bagi seorang peniaga, Noor Hakimi Kamis, 56, mengusahakan kebun sayur-sayuran di kawasan laman kediamannya di Jalan Syed Husin, Pauh di sini.
Siapa sangka, aktiviti secara suka-suka bagi menghilangkan rasa ‘bosan’ berikutan PKP itu,
kini mampu memberi pendapatan tambahan kepada Noor Hakimi selain hasilnya turut disumbangkan secara percuma kepada saudara-mara dan kenalan.
Berkat usaha tersebut, laman rumah Noor Hakimi kini menghijau dengan tanaman sayur-sayuran’ seperti sawi, bayam, kailan, bendi dan pelbagai lagi.
Jelas bapa kepada enam orang anak itu, sepanjang tempoh PKP lalu, dia banyak menghabiskan masa mengusahakan tanaman tersebut dan dalam tempoh dua minggu sahaja kebanyakan sayur-sayuran sudah membuahkan hasil.
“Masa PKP lalu, saya banyak menghabiskan masa di rumah sekali gus tercetus idea untuk mengusahakan kebun di laman rumah yang lapang itu. Satu kepuasan apabila melihat hasil dan suasana yang menghijau ini.
“Hasil tanaman tersebut saya jual di kedai-kedai dan sekurang-kurangnya bolehlah menjana sedikit pendapatan tambahan daripada tidak buat apa di rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Noor Hakimi, dia bercadang memperluaskan lagi tanaman dengan pelbagai jenis sayur-sayuran selepas ini.
Katanya, aktiviti berkebun bukan sahaja membuahkan hasil malah turut menyihatkan tubuh badan khususnya pada waktu pagi dan sebelah petang.
“Saya lihat satu trend ketika ini apabila ramai yang mengisi masa terluang dalam tempoh PKP lalu dengan mengusahakan pelbagai tanaman di laman rumah masing-masing.
“Apabila melihat hasil kami akan bertambah semangat untuk menambah pelbagai lagi jenis tanaman lain. Bercucuk tanam ini merupakan satu aktiviti yang sangat menyeronokan,” kata peniaga pakaian itu. -UTUSAN ONLINE