JOHOR BAHRU: Hasrat seorang wanita untuk menggunakan tandas di kediamannya terbantut apabila menemukan seekor ular sawa sepanjang 12 kaki atau hampir empat meter di dalam mangkuk tandas dalam kejadian di Taman Dato’ Syed Idris, di sini petang ini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Ronnie Robert berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.11 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan itu.
“Menurut pengadu, dia menyedari kewujudan ular tersebut ketika hendak menggunakan tandas di rumahnya sebelum terus membuat panggilan kecemasan.
“Ular sawa sepanjang 12 kaki itu berjaya ditangkap menggunakan alat penjerut sebelum dilepaskan di kawasan yang jauh daripada penempatan awam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya percaya ular terbabit memasuki mangkuk tandas berkenaan melalui saluran paip sedia ada di rumah itu.
“Operasi menyelamat itu kemudiannya ditamatkan pada pukul 5.45 petang,” jelasnya.
Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, anggota bomba turut berjaya menangkap seekor lagi ular juga sepanjang 12 kaki di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selepas menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 7.38 malam, tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Faisal Ismail berkata, ular tedung selar itu ditangkap di bawah sebuah tangga di Kolej Taman Putra, UTM.
“Ular berkenaan berjaya ditangkap menggunakan alat penjerut sebelum operasi ditamatkan pada pukul 7.54 malam selepas keadaan dipastikan selamat,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE