Bomba pujuk satu jam wanita cuba bunuh diri - Utusan Malaysia

Bomba pujuk satu jam wanita cuba bunuh diri

SEORANG wanita memanjat keluar besi balkoni rumahnya di tingkat enam dipercayai cuba membunuh diri gara-gara mempunyai masalah rumah tangga. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Suasana di sebuah pangsapuri di Taman Pertam Jaya di sini, hari ini bertukar kecoh apabila seorang wanita memanjat keluar besi balkoni rumahnya di tingkat enam dipercayai cuba membunuh diri, gara-gara mempunyai masalah rumah tangga.

Kejadian itu disedari penduduk kira-kira pukul 1.10 petang selepas terlihat mangsa yang berusia 29 tahun berdiri di luar balkoni dengan keadaan kedua-dua tangan berpaut pada besi tersebut.

Pegawai Operasi Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Baharum Muhamad Hasim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.14 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba enam minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati mangsa berada di luar balkoni kediaman rumahnya di tingkat enam sebuah blok pangsapuri berkenaan.

“Anggota bomba dengan bantuan polis terpaksa menggunakan balkoni jiran rumah di bahagian atas untuk memujuk mangsa kira-kira satu jam berikutan pintu rumahnya berkunci,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, dengan kebenaran polis, pasukan bomba kemudian bertindak memecahkan pintu rumah mangsa dan memasukinya bagi memastikan kedudukan wanita berkenaan dalam keadaan selamat.

“Anggota bomba dan penduduk setempat turut membantu merentang kain kanvas di tingkat bawah bangunan terbabit sebagai langkah berjaga-jaga.

“Wanita itu berjaya dipujuk dan selamat masuk semula ke dalam kawasan rumah pada pukul 2.14 petang. Difahamkan kejadian itu berlaku disebabkan mangsa tertekan dengan krisis rumah tangga,” ujarnya.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya