Bomba panjat tangga hingga tingkat 17 padam api - Utusan Malaysia

Bomba panjat tangga hingga tingkat 17 padam api

ANGGOTA bomba terpaksa memanjat tangga sehingga ke tingkat 17 sebuah pangsapuri di Butterworth, Pulau Pinang untuk memadam kebakaran sebuah unit rumah kosong berikutan sistem pancur kering di pangsapuri berkenaan tidak berfungsi dalam kejadian pagi ini. - IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sekumpulan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat terpaksa memanjat tangga hingga ke tingkat 17 sebuah pangsapuri di sini bagi memasang hos untuk memadam kebakaran sebuah unit di pangsapuri itu pagi ini. 

Usaha itu terpaksa dilakukan selepas sistem pancur kering di tingkat 17 di Flat E1E2, Perai di sini tidak berfungsi sekali gus menyukarkan kerja memadam kebakaran dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu. 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, kejadian berkenaan membabitkan kebakaran sebuah rumah kosong di tingkat 17 pangsapuri setinggi 21 tingkat itu. 

“Bagaimanapun, sistem pancur kering pada bangunan itu mengalami masalah dan anggota terpaksa membentangkan hos melalui tangga hingga ke tingkat tersebut. 

“Sebanyak lapan gulung hos diperlukan untuk memadamkan kebakaran itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Jurucakap itu berkata, api bagaimanapun berjaya dikawal pukul 9.33 pagi sebelum  dipadamkan sepenuhnya pukul 9.51 pagi. 

Jelasnya, kebakaran itu membabitkan sebanyak 70 peratus rumah kosong berkeluasan kira-kira 55 meter persegi itu dan tiada mangsa terlibat. 

Operasi terbabit dijalankan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dan Butterworth. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN