GERIK: Khidmat Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digunakan bagi membawa keluar lelaki berusia 64 tahun yang mengalami serangan jantung di kawasan hutan di Sungai Singgor, Kampung Tekam di sini.
Difahamkan, lelaki terbabit dan lima rakannya berada di kawasan itu sejak semalam bagi menjalankan kajian pembinaan projek mini hidro di sungai tersebut.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Syahirul Anwar Abdul Azam berkata, pihaknya menerima maklumat memaklumkan kejadian itu pada pukul 11.29 malam semalam.
Katanya, lokasi mangsa kira-kira 20 kilometer dari laluan utama dengan menggunakan jalan balak dan berjalan kaki.
“Maklumat awal diterima memaklumkan lelaki itu mengalami serangan jantung semasa melakukan kajian di sungai tersebut.
“Sepasukan anggota dari BBP Gerik segera ke lokasi kejadian dan mendapati untuk masuk ke kawasan itu mengambil masa lima jam menggunakan jalan balak,” katanya.
Menurut beliau, Unit Udara JBPM telah dihubungi untuk bantuan bagi membawa mangsa keluar dari lokasi tersebut.
Katanya, sebuah helikopter digerakkan dan tiba di Gerik pada pukul 11.55 pagi dengan terus ke lokasi mangsa berada berdasarkan koordinat yang diberikan.
“Unit Udara telah diatur gerak untuk membantu operasi menyelamat dan setelah sampai di lokasi, tindakan menaikkan mangsa menggunakan teknik ‘winching’ segera dijalankan.
“Mangsa yang dalam keadaan lemah itu dibawa ke Lapangan Terbang Gerik pada jarak 15 minit dari lokasi dia diambil dan diserahkan kepada kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk dihantar ke Hospital Gerik,” katanya. – UTUSAN ONLINE