Bom lama era perang dunia ditemukan selepas banjir - Utusan Malaysia

Bom lama era perang dunia ditemukan selepas banjir

BOM lama yang ditemukan seorang penduduk yang juga pekerja kebun sawit di Kampung Bentong Dalam, Kluang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Sebutir bom lama peninggalan Perang Dunia Kedua di kawasan kebun kelapa sawit, ditemukan penduduk selepas banjir besar melanda Kampung Bentong Dalam, di sini Januari lalu.

Ketua Kampung Bentong, Zailan Kadir, 62, berkata, bom lama itu ditemukan semasa pekerja kebun tersebut yang juga penduduk tempatan sedang melakukan kerja-kerja menabur baja.

“Pada mulanya, pekerja kebun itu menyangkakan objek tersebut adalah besi lama yang berkarat, tetapi, apabila diteliti bentuknya seakan bom.

“Sudah beberapa kali bom lama ditemukan di kawasan kebun sawit penduduk kampung yang bersebelahan dengan sebuah kem tentera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, sejak tanah di kawasan kebun sawit itu diteroka pada awal 1986, sudah beratus butir bom lama yang dipercayai digugurkan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua ditemukan.

“Tentera Jepun menggugurkan banyak bom semasa Perang Dunia Kedua bagi memusnahkan kawasan lapangan terbang dalam kawasan kem tentera itu yang wujud dan masih beroperasi sehingga kini.

“Bom lama itu masih tertanam dan tidak meletup kerana tanah di kawasan ini tanah gambut,” katanya.

Zailan berkata, mereka berharap pihak berkuasa melakukan pengesanan bom-bom lama di kawasan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Biasanya bom lama yang ditemukan sebelum ini tertanam antara satu hingga dua meter kerana tanah gambut yang lembut sementara jarak antara kawasan kebun sawit dengan Kampung Bentong itu pula hanya satu kilometer,” katanya.

Dalam pada itu, tindakan pemusnahan bom lama ataupun Unexploded Ordnance (UXO) itu dilakukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Kontinjen Johor bersama-sama Sub Unit UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di kawasan itu pada pukul 12 tengah hari, semalam.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Polis Johor, bom lama jenis Artillery meriam 85 milimeter (mm) itu dimusnahkan dengan menggunakan teknik High order melalui kaedah elektrik.

“Bom itu ditemukan semasa sedang menjalankan kerja-kerja membersihkan kebun pada kelmarin. Kerja-kerja memusnahkan bom lama itu berjaya dilakukan tanpa sebarang kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya