PETALING JAYA : Secara dasarnya tiada larangan untuk sesiapa sahaja untuk menyebut perkataan Allah sama ada umat Islam atau penganut agama lain, namun sebaliknya perlu ada garis sempadan.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, soal itu termasuk penganut agama yang melantik paling banyak Tuhan bahkan golongan tidak beragama dan tidak percaya tuhan sama ia mahu diucapkan atau ditulis.
Beliau menambah walaupun sebutan Allah menyalahi makna asal dan sekiranya berlaku, pihak demikian itu hendaklah menanggung kesalahan tersebut.
“Semua pihak wajar meletakkan kebijaksanaan masing-masing dan menjaga sensitiviti dalam konteks masyarakat majmuk mengikut sempadan sebenar kerana Islam melarang umatnya menyentuh sensitiviti penganut agama lain hingga boleh menimbulkan ketegangan
“Jika penganut setiap agama menyebutkan perkataan Allah mengikut kepercayaan masing-masing akan adanya Allah (Tuhan), itu adalah hak kebebasan beragama. Hal ini kerana terdapat agama selain Islam yang menggunakan perkataan Allah termasuk masyarakat Arab yang tidak beragama Islam atau bukan Arab juga mengguna pakai perkataan Allah,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memutuskan bahawa penganut agama Kristian di negara ini boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam pembelajaran agama atau penerbitan buku agama mereka.
Selain ‘Allah’, penganut agama Kristian di negera ini juga boleh menggunakan perkataan ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘solat’ dalam penerbitan mereka.
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin yang kini Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian dalam semakan kehakiman seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland selepas mendapati notis larangan oleh Kementerian Dalam Negeri tidak sah dan terbatal.
Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, maksud perkataan Allah sebenar adalah mengikut asal usul daripada bahasa Arab yang menjadi bahasa asal bagi al-Quran.
Katanya, perkataan Allah tidak terdapat dalam bahasa lain termasuk dalam bahasa Melayu, Inggeris, Parsi dan Urdu serta bahasa lain umat Islam, malah mereka tidak menterjemahkannya menurut bahasa masing-masing kerana tiada perkataan seerti dengannya.
“Sekiranya dirujuk kepada perkataan asal dalam Bahasa Arab, Allah mempunyai makna bahawa sesungguhnya Dia sahaja Tuhan yang Maha Esa, Tuhan yang layak disembah dengan beribadat kepadanya secara ikhlas, dipatuhi hukum dan undang-undang yang telah ditetapkannya, beribadat kepadanya sahaja dan tiada lagi Tuhan selain daripadanya,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya sebutan Allah digunakan mana-mana penganut agama atau bangsa lain dan tidak mencapai maksud asal kerana kepercayaan mereka bercanggah, maka ia bertentangan dengan mengikut asal perkataan Bahasa Arab.
Namun begitu, beliau menegaskan tidak boleh melarang sesiapa sahaja untuk menyebutkannya jika sebutan kalimah Allah menyalahi daripada makna yang asal dan sekiranya ia berlaku, pihak demikian itu hendaklah menanggung kesalahannya. -UTUSAN ONLINE