SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) mahu merampas semula Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) namun ia mestilah dengan sumbangan kemenangan di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tewas pada pilihan raya umum lalu.
Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Ismail Lasim berkata, kerusi-kerusi tersebut termasuklah di dalam Parlimen Seremban yang pada pilihan raya umum lalu, BN tewas di semua kerusi yang ditandingi.
“BN perlu cukup kerusi untuk jadi kerajaan dan kerusi datang daripada bahagian, setakat PRU-14 dulu agak menyedihkan di bahagian Seremban tidak dapat sumbang kerusi.
“Saya minta rakan saya di Seremban supaya bekerja kuat supaya PRU-15 nanti, UMNO dan BN di Seremban dapat sumbang sekurang-kurangnya dua kerusi, dengan kerusi itu ditambah kerusi di bahagian lain, dapat tubuhkan kerajaan BN di Negeri Sembilan, ia boleh dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Isian Minyak Percuma anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Anak Soghomban N9, Persatuan Anak Jati Ampangan, Brotherhood N9 dan Pertubuhan Warisan Anak-anak Lenggeng Seremban NS di Ampangan hari ini.
Ismail yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, antara kerusi DUN yang mesti dimenangi semula oleh BN di Parlimen Seremban pada pilihan raya umum akan datang ialah Lenggeng.
“Semua kerusi berpotensi kalau kita bekerja kuat tetapi kita lebih fokus kepada kerusi yang pernah kita pegang dulu selama berpenggal-penggal seperti Lenggeng, BN tewas pertama kali pada pilihan raya lalu di kerusi itu.
“Kemudian Ampangan, Sikamat kita sudah hilang tiga penggal, bukan kita tidak boleh menang tapi sudah lama kita tidak dapat kerusi itu, tapi Lenggeng boleh,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith yang bersedia menyertai rundingan dengan BN dalam isu pembahagian kerusi, Ismail berkata, BN negeri juga berpegang kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti yang tidak bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU-15 akan datang.
“Kita ada pendirian sendiri, Pengerusi kita juga Timbalan Presiden UMNO, saya juga ahli MT juga, kita berpegang kepada keputusan MT UMNO yang mana tidak akan bersama Bersatu.
“Tapi seperti mana kita tahu, dinamik politik sedang berjalan dalam negara kita, kalau ada ruang runding, kenapa tidak? tetapi di Negeri Sembilan kita pegang kepada keputusan MT UMNO, kalau MT UMNO kata kita runding, kita akan runding,” katanya.- UTUSAN ONLINE