SEREMBAN: Seorang lelaki cedera apabila kereta yang dipandunya terbabas melanggar sebuah rumah dalam kejadian di Jalan Ampangan dekat sini lewat petang tadi.
Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.52 petang dan tiba lima minit kemudian.
“Kami menerima laporan daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki yang memandu sebuab kereta terbabas dari arah Jalan Jelebu menuju ke bandar Seremban dan melanggar rumah berdekatan.
“Maklumat awal yang kami terima, mangsa yang cedera memandu kereta jenis BMW dan pihak bomba mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa berkenaan yang tersepit pada bahagian kaki,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Mohamad, mangsa dikatakan mengalami kecederaan di kaki itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan lanjut.
Jelasnya lagi, lima individu yang berada di dalam rumah tersebut selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN ONLINE