Bimbang tanah runtuh bertambah teruk - Utusan Malaysia

Bimbang tanah runtuh bertambah teruk

PENDUDUK risau dengan keadaan tebing yang runtuh dan masih belum dibaiki di Jalan Ketapang 9, Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Penduduk di Jalan Ketapang 9, Taman Rinting, di sini bimbang isu tebing runtuh yang berlaku sejak empat bulan lalu akan bertambah buruk jika tidak ditangani segera oleh pihak berkaitan. 

Penyelia Pusat Aduan Pasir Gudang, Syed Othman Syed Abdullah berkata, kejadian tebing runtuh itu dipercayai berpunca daripada saliran longkang yang tersumbat di kawasan berkenaan. 

Kata beliau, pihaknya menggesa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengambil tindakan segera memandangkan kawasan tersebut berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 3 serta tadika berhampiran.

“Kita telah memaklumkan pihak MBJB pada Januari, malah, turut menghubungi semula dua minggu lalu. Kita faham MBJB memerlukan masa untuk proses tender, cuma kebimbangan adalah berdasarkan aduan ibu bapa dan pelajar sekolah.

“Kami berharap perkara ini diberi pertimbangan dalam kadar segera sebelum ada yang menjadi mangsa akibat masalah ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk, Mohamad Ashraf Md. Jusof, 27, berkata, lokasi runtuhan itu terletak di jalan masuk ke kawasan perumahan yang hanya dipisahkan dengan penghadang jalan bagi mengelak penduduk menghampirinya.

“Saya hairan mengapa isu ini tidak diselesaikan dalam keadaan segera sedangkan ia sudah berlaku sejak Disember tahun lalu, kelewatan ini tidak seharusnya berlaku kerana khuatir berlaku perkara tidak diingini.

“Malah, apa yang menjadi kerisauan apabila murid sekolah di sini menggunakan jalan berhampiran cerun sedalam kira-kira tiga meter itu. Walaupun belum pernah berlaku kemalangan membabitkan jiwa, namun langkah mengatasi perlu diambil,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap MBJB ketika dihubungi memaklumkan tindakan sudah diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Pihak kontraktor sudah dilantik dan akan memulakan kerja-kerja pembaikan pada minggu ini di lokasi berkenaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya