KANGAR : Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan dakwaan beliau ‘disergah’ Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika pertemuan mereka di mahkamah baru-baru ini.
Sebaliknya Shahidan menegaskan, kehadiran beliau ke mahkamah dan pertemuan singkat kira-kira 10 minit itu hanyalah bagi menyatakan sokongan terhadap Ahmad Zahid yang sedang menghadapi perbicaraan.
Dalam masa sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu juga menjelaskan bahawa hubungan beliau dengan Presiden UMNO itu adalah cukup baik.
“Saya memang pergi ke mahkamah untuk jumpa Ahmad Zahid sebagai tanda sokongan.
Dakwaan bahawa saya disergah sebagaimana disebarkan oleh segelintir bloggers UMNO itu adalah tidak benar.
“Ahmad Zahid hendak sergah saya buat apa, bukan saya lakukan apa-apa kesalahan. Tindakan segelintir bloggers UMNO ini bukan membantu menambah kekuatan UMNO sebaliknya hanya mengundang perpecahan.
“Adalah lebih baik bloggers UMNO ini tumpu menyerang pembangkang bukan menyerang sesama sendiri yang langsung tidak menguntungkan parti,” katanya ketika ditemui di Yayasan Pok Dan Kassim (YPK) di sini hari ini.
Khamis lalu, tular dalam media sosial bahawa Shahidan ‘disergah’ Ahmad Zahid ketika memohon untuk menarik usul tamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dalam pertemuan singkat di mahkamah itu, difahamkan Ahmad Zahid menolak permohonan tersebut dengan nada tinggi sambil berkata “cubalah buat”.
Sementara itu, Shahidan juga menafikan dakwaan bahawa beliau bertemu Ketua-Ketua Bahagian dan Wanita UMNO di Melaka bagi menggesa mereka membawa usul menyokong kerjasama dengan Bersatu dan bersama Perikatan Nasional (PN) pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) nanti.
Malah, beliau juga bukan salah seorang individu yang dikaitkan sedang melakukan gerakan dalaman bagi mengubah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MPT) yang menolak kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saya tidak pergi ke Melaka pun, bagaimana boleh dikaitkan dengan tuduhan ini. Semua dakwaan dan serangan terhadap saya sejak akhir-akhir ini adalah tidak benar sama sekali,” katanya.
Dalam pada itu, Shahidan berkata, UMNO negeri akan kekal bekerjasama dengan parti-parti bumiputera lain dan jika PAU membuat usul hendak putus dengan Bersatu, baharu Perlis menyatakan pendirian semula. -UTUSAN ONLINE