Bidan moden 'laris' di Perlis - Utusan Malaysia

Bidan moden ‘laris’ di Perlis

KASTINI Kasim mencukur rambut bayi salah seorang pelanggannya yang mendapatkan khidmat penjagaan wanita berpantang di Kangar, Perlis, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Lazimnya wanita yang melahirkan anak sering mendapatkan bantuan ibu di kampung sepanjang tempoh berpantang.

Namun kebelakangan ini, peranan tersebut mula diambil alih oleh bidan moden yang usianya lebih muda dengan menawarkan perkhidmatan penjagaan dari rumah ke rumah.

Kerjaya tersebut mula dimonopoli oleh golongan wanita muda yang menjalankan tanggungjawab daripada cukur rambut, belah mulut, mengurut, bertungku, mandi bayi, penyediaan makanan dan pelbagai lagi amalan tradisional berpantang yang lain.

Seorang bidan moden, Kastini Kasim,37, berkata, dia mula menceburi bidang tersebut seawal usia 30 tahun kerana didorong oleh minat yang mendalam terhadap kerjaya itu.

Katanya, selepas hampir tujuh tahun menceburi bidang tersebut, dia kini tidak putus-putus menerima pelanggan yang mendapatkan khidmat penjagaan itu.

Kata ibu kepada empat orang anak itu, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada kakitangan kerajaan dan swasta yang menggunakan perkhidmatan penjagaan mengikut beberapa pakej yang disediakan.

“Ada pakej tiga hari, tujuh, 10 dan 14 hari bagi menguruskan ibu berpantang dan bayi. Antara perkhidmatan seperti mengurut, memasak, bertungku, mandian herba ibu, aroma terapi, serub badan, cukur jambul dan pelbagai lagi mengikut pakej-pakej yang disediakan itu.

“Alhamdulilah, setiap bulan ada sahaja pelanggan yang menggunakan perkhidmatan penjagaan itu, malah untuk bulan-bulan berikutnya juga sentiasa ada yang melakukan tempahan lebih awal. Saya menitik beratkan kualiti dan penjagaan yang rapi terhadap ibu yang berpantang dan bayi mereka.

“Malah, kadangkala ada juga pelanggan dari luar negeri ini termasuk Kuala Lumpur yang menggunakan perkhidmatan penjagaan itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lama, Guar Sanji di sini, semalam.

Tambah Kastini, dia mempelajari perkara-perkara berkaitan penjagaan wanita berpantang melalui ibunya selain pernah menghadiri kursus mengenainya.

“Sejak dahulu lagi saya cukup berminat dengan kerja-kerja penjagaan ibu berpantang dan bayi ini sehingga akhirnya menjadi kerjaya utama bagi saya. Alhamdulilah hasil berkat usaha selama ini, saya mampu menjana pendapatan yang lebih selesa.

“Dahulu kerja-kerja penjagaan ini sinonim dengan orang-orang tua namun sekarang golongan muda juga sudah boleh melakukan kerja-kerja penjagaan wanita berpantang ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya