Bersatu Kelantan akur jika perlu beri laluan kepada Pas - Utusan Malaysia

Bersatu Kelantan akur jika perlu beri laluan kepada Pas

KAMARUDDIN Md. Noor menyampaikan hadiah kepada pengunjung ketika merasmikan Program Hari Peladang Peringkat Pasir Puteh di Bendang Tok Ajam, Pasir Puteh hari ini. -UTUSAN/ TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan akur jika diminta pimpinan parti untuk beralah dan memberi laluan kepada Pas mendominasi agihan kerusi Parlimen di negeri ini.

Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Kamaruddin Md. Noor berkata, pihaknya mengiktiraf Pas sebagai parti terkuat yang berpotensi meraih sokongan majoriti rakyat di Kelantan sekali lagi dalam pilihan raya akan datang.

“Bersatu negeri ada mengusulkan beberapa kerusi untuk bertanding di Kelantan dan kita menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan kedua-dua parti untuk mencari pendekatan terbaik soal agihan kerusi. Setiap isu yang berbangkit boleh diselesaikan secara adik-beradik.

“Saya difahamkan, rundingan Bersatu dan Pas belum selesai, namun, kami sepakat untuk wala’ kepada apa juga keputusan pimpinan parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Peladang Peringkat Pasir Puteh di Bendang Tok Ajam, Jelor, di sini hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Rosol Wahid kelmarin berkata, parti itu sedia menyerahkan kerusi Parlimen di Pantai Timur, terutama di Terengganu kepada Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengulas lanjut, Kamaruddin memberitahu pihaknya meminta untuk bertanding di beberapa kerusi di Kelantan kerana mahu berganding dengan Pas bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung jumlah kerusi yang diminta Bersatu.

Ditanya hubungan dengan UMNO pula, Kamaruddin berkata, setakat ini, pihaknya masih sabar menunggu parti itu membuat keputusan muktamad sama ada mahu bekerjasama dengan Bersatu atau tidak.

“Walaupun baru-baru ini, UMNO dikatakan mengambil ketetapan menolak kerjasama dengan Bersatu, pendapat anggota kepimpinan mereka belum seragam.

“Masih ada pendapat dalam UMNO yang berdolak-dalih, jadi kita akan tunggu mereka untuk bersama demi perpaduan orang Melayu di negara ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya