ARAU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas DAP yang disifatkan tidak sensitif terhadap Islam sekali gus menggores perasaan umat Islam di negara ini.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sebelum ini ada pemimpin DAP memberi analogi yang tidak betul mengenai konsep murtad dan terbaharu ada pula ‘merayakan’ keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kalimah Allah.
Beliau mengingatkan, dengan sikap DAP seperti itu, adakah masih ada sesiapa yang mahu mewujudkan penjajaran baharu untuk membawa parti tersebut kembali ke Putrajaya?
“Saya sudah katakan DAP langsung tidak sensitif dengan pandangan majoriti orang Melayu Islam dalam negara kita. Komen sebegini langsung tidak membantu mewujudkan perpaduan dalam negara majmuk seperti Malaysia.
“Ia menyentuh sensitiviti dan menimbulkan prasangka yang berpanjangan. Saya tahu ada beberapa pemimpin DAP gembira. Tapi simpanlah sedikit dan tak perlulah merayakan macam ini,” katanya di sini.
Sebelum ini, seorang pemimpin DAP menzahirkan rasa gembira dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penganut Kristian menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan pendidikan keagamaan mereka.
Pemimpin DAP itu dilaporkan berkata, dengan keputusan tersebut doa mereka telah diperkenankan.
Isnin lalu, pemimpin daripada parti itu mempersoalkan kewajaran lompat parti dalam politik sedangkan Islam tidak membenarkan murtad.
Wan Saiful berkata, beliau telah menghubungi beberapa rakan dalam Kabinet untuk menyuarakan pandangan mengenai isu kalimah Allah dan berharap dapat penyelesaian terbaik.
Dalam masa sama Wan Saiful juga berpandangan, kerajaan perlu membawa isu tersebut ke Mahkamah Rayuan.
“Saya mendengar dan membaca komen-komen berkaitan keputusan mahkamah dalam isu kalimah Allah. Ini satu isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam dalam negara kita. Ia bukan isu baru malah telah lama berlegar.
“Keputusan itu menunjukkan dua perkara, pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus tegas tidak akan mencampuri urusan mahkamah. Ini prinsip penting dalam negara kita dan sikap PN ini mesti diiktiraf dan dipuji.
“Kedua, perundangan kita perlu mengambil kira suasana dan adat setempat (uruf). Maka dalam hal yang menyentuh sensitiviti umat Islam sebegini, ada keperluan untuk ia ditangani dengan cermat dan teliti,” katanya. – UTUSAN ONLINE