Bermodalkan RM56 usahakan perniagaan karipap - Utusan Malaysia

Bermodalkan RM56 usahakan perniagaan karipap

MOHD. Rafis Pangantoon (kanan) dan Norhasanah Misran menunjukkan karipap pusar, karipap biasa dan produk sejuk beku lain di rumah mereka di Kampung Seri Menanti, Pekan Nanas. -UTUSAN/ MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Dengan hanya bermodalkan RM56, pasangan suami isteri, Mohd. Rafis Pangantoon, 48, dan Norhasanah Misran, 41, memulakan usaha membuat karipap untuk jualan dan tempahan dari penduduk kampung.

Namun, melihat sambutan produk yang dikeluarkan, mereka mengorak langkah lebih jauh apabila berjaya membina bangunan sendiri di atas tanah milik keluarga di Kampung Seri Menanti, Pekan Nanas.

Menurut Mohd. Rafis, dia sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Pekan Nanas tetapi selepas melihat usaha yang dilakukan oleh isterinya membuahkan hasil, dia mengambil keputusan berhenti kerja pada 2015.

“Terfikir juga isteri saya bekerja seorang diri membuat karipap yang mendapat sambutan baik daripada pelanggan, mengapa saya tidak membantunya dan meninggalkan pekerjaan makan gaji.

“Justeru, sejak itu kami tidak lagi menoleh ke belakang dan membuat pelbagai jenis karipap pusar dan biasa yang berinti daging, ayam dan kentang untuk dipasarkan terus kepada peniaga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Mohd. Rafis, ketika bermodalkan RM56, isterinya hanya mampu memenuhi tempahan penduduk setempat sahaja iaitu sebanyak 200 biji karipap dengan kaedah pembuatan secara manual.

Lantaran itu, setelah membaik pulih rumah keluarga dan membina sebuah bangunan tambahan untuk menjalankan perniagaan itu sepenuh masa, mereka mampu memuatkan pelbagai peralatan dan mesin selain peti sejuk bagi menyimpan karipap dan produk lain.

Katanya, perusahaan kecil-kecilnya itu juga berjaya menawarkan pekerjaan kepada enam pekerja setempat yang bukan sahaja berfokus kepada karipap tetapi beberapa produk sejuk beku lain seperti sardine roll, born bijan, pau, gendang kasturi dan cucur badak.

“Bagi karipap pusing dan biasa, pengeluaran sebanyak 900 biji dengan kaedah ‘mengelip’ masih menggunakan tangan dan permintaan akan meningkat kepada 1,500 biji sekiranya ada tambahan tempahan,” ujarnya.

Menurutnya, bagi memenuhi permintaan peniaga termasuk di Kuala Lumpur, mereka turut memasarkan kuih seperti tart nanas, samperit, mazolla yang dibuat oleh ahli keluarga lain.

Selain Kuala Lumpur, pasaran karipap dengan jenama ‘Gabrull’ yang bermaksud berani tempur itu turut berada di beberapa buah pasar raya dan kedai-kedai di sekitar Johor Bahru serta Singapura.

Orang ramai yang berminat untuk membeli produk berkenaan boleh menghubungi Mohd. Rafis menerusi talian 019-707 0835 atau terus berkunjung di Kampung Seri Menanti. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya