Berlangsung secara maya, tidak patahkan semangat perwakilan - Utusan Malaysia

Berlangsung secara maya, tidak patahkan semangat perwakilan

PERWAKILAN Pergerakan Pemuda UMNO bahagian-bahagian di Negeri Sembilan tekun mendengar ucapan perasmian Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang diadakan secara maya di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di Seremban hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semangat para perwakilan sayap-sayap UMNO tidak berubah walaupun ada di antara mereka terpaksa mengikuti Perhimpunan Agung UMNO kali ini secara maya di negeri masing-masing.

Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Seremban, Wan Salwati Abdullah berkata, walaupun suasananya tentu berbeza berbanding menghadirinya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, jumlah kehadiran perwakilan di negeri-negeri juga menunjukkan semangat mereka tidak pernah pudar.

“Dalam keadaan norma baharu, memang jauh berbeza tapi semangat tidak pernah pudar, kita juga dengar ucapan Timbalan Presiden UMNO tadi yang memaklumkan apa yang berlaku sekarang ini tidak seharusnya mematahkan semangat, sebaliknya memugarkan lagi semangat.

“Mungkin kita tidak dapat nafikan suasananya tidak seperti di PWTC sebelum ini, tetapi, kita faham, suasananya tidak sama, tetapi kehadiran menunjukkan UMNO tidak layu, kehadiran perwakilan semuanya lengkap dan cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO yang diadakan secara maya di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan hari ini.

Seramai 120 perwakilan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Negeri Sembilan daripada lapan bahagian menghadiri perhimpunan tersebut hari ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Mustafa Salim berkata, keputusan untuk mengumpul kesemua perwakilan di bahagian-bahagian di satu lokasi iaitu di Wisma UMNO mengambil kira masalah capaian internet yang lemah di beberapa bahagian.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah, Mohd. Faizal Azizan pula berkata, walaupun berjauhan berbanding lokasi perhimpunan di PWTC, semangat setiap perwakilan tetap sama seperti sebelum ini.

“Saya akui suasana amat berbeza kerana ia berlangsung berasingan, semua selalunya di PWTC, namun begitu, semangatnya tetap sama seperti kami menghadirinya di sana sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, pesanan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya ahli sayap-sayap parti perlu bekerja kuat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15) perlu diambil peringatan.

“Pesanan itu khususnya untuk Pemuda UMNO, kita harus mendekati orang muda agar mereka kembali dan menyokong UMNO, Pemuda UMNO seharusnya menjadi orang harapan dan orang kuat di barisan hadapan,” katanya lagi.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya