PASIR PUTEH: Suasana di sekitar Bendang Tok Ajam, di sini hari ini gamat apabila peserta pertandingan menangkap ikan di tali air terpaksa berkubang dalam lumpur tebal.
Pertandingan itu diadakan sempena sambutan Hari Ladang anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
Seorang petani, Mamat Abdullah, 45, berkata, pertandingan menangkap ikan tersebut wajar dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan di negeri ini.
Menurutnya, pertandingan itu menyeronokkan kerana peserta terpaksa berendam dalam lumpur pekat untuk menangkap ikan yang licik dan licin.
“Banyak ikan darat seperti keli, sepat kedah, belida dan sebagainya boleh ditangkap menggunakan serkap tradisional.
“Dalam pertandingan hari ini, peserta hanya dibenarkan membawa karung guni untuk mengisi ikan yang berjaya ditangkap,” katanya.
Seorang lagi petani, Rahiman Ismail, 30, berkata, aktiviti menangkap ikan pada musim kemarau memberi pendapatan tambahan kepada petani.
“Program hari ini bukan sahaja menyeronokkan, tetapi, berupaya merapatkan keakraban sesama petani,” katanya.
Ikan-ikan yang berjaya ditangkap peserta kemudian ditimbang untuk ditentukan juara sebelum akhirnya dimasak gulai untuk dinikmati semua pengunjung yang hadir.
Lazimnya, aktiviti menangkap ikan di tali air sering dilakukan petani pada musim kemarau panjang sama ada untuk dimasak sendiri atau dijual kepada penggemar ikan air tawar. -UTUSAN ONLINE