‘Berkampung’ di perkuburan - Utusan Malaysia

‘Berkampung’ di perkuburan

JAAFAR Ismail menunjukkan kubur ahli keluarganya yang terletak di depan rumahnya di kawasan Kubur Banggol, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Buka sahaja tingkap, pemandangan batu nisan dan belindan pelbagai bentuk serta saiz boleh dilihat berceratuk di segenap tempat.

Setiap kali mahu keluar dari rumah, perlu berhati-hati mengatur langkah, bimbang jika terlanggar kubur yang letaknya betul-betul di depan tangga.

Bayangkan rutin harian ‘luar biasa’ dilalui penduduk di Mukim Banggol di sini memandangkan hampir 50 peratus kawasan perkampungan mereka adalah tanah perkuburan.

Digelar Kubur Banggol, kawasan seluas 4.8 hektar dengan jarak panjangnya hampir dua kilometer itu dikatakan sebagai tanah perkuburan terbesar di negeri ini.

Berdasarkan pemerhatian, tidak kurang 50 rumah di situ berjiran dengan kubur tanpa sebarang pemisah. Rumah lain pula dipisahkan pagar dawai namun masih berdekatan tanah perkuburan.

Namun tiada apa hendak ditakutkan. Demikian reaksi Jaafar Ismail, 76, penduduk jati Banggol yang lahir dan membesar di situ ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

“Selama berpuluh-puluh tahun tinggal di sini, tidak pernah berdepan kejadian aneh atau seram. Bagi saya sama sahaja macam kita duduk di tempat lain. Semuanya milik Allah SWT,” katanya.

Menurutnya, kawasan itu asalnya dipenuhi belantara, berubah wajah sekitar 1950-an hingga 1970-an apabila penduduk rancak menjual tanah masing-masing dengan harga antara RM11,000 hingga RM60,000 seekar (0.4 hektar).

“Ia kemudian dijadikan makam persendirian pihak yang membelinya. Lama-kelamaan, semakin banyak tanah dijual selain diwakafkan sebagai tanah perkuburan sehinggalah Kubur Banggol jadi sekarang,” katanya.

Imam Tua Masjid Mukim Banggol, Muhammad Ammar Azlan pula berkata, 60 peratus Kubur Banggol adalah tanah wakaf di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Baki 40 peratus pula katanya, berstatus makam persendirian sama ada milik penduduk tempatan atau orang luar.

“Mengikut cerita orang lama, kawasan ini dinamakan Banggol kerana jarang banjir berbanding tempat lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya