SEGAMAT: Seorang penunggang membuat pengakuan kononnya bunyi ekzos motosikalnya diubah suai bagi tujuan menghalau monyet dan babi hutan ketika ditahan dalam Op Khas Ekzos Bising di Jalan Genuang, Bandar Segamat di sini, kelmarin.
Lelaki berusia 35 tahun itu merayu untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana mendakwa ekzos motosikalnya tidak pernah mengganggu ketenteraman awam dengan mengatakan hanya bertujuan menghalau haiwan liar di kebunnya.
“Motosikal ini saya pakai waktu nak masuk kebun sahaja. Kalau melalui kawasan kampung atau depan hospital, saya hanya menunggang secara perlahan tanpa bunyi bising.
“Saya keluar ke bandar ini nak isi minyak motor sahaja. Tiba-tiba kena tahan. Malu pula saya kalau bapa mentua saya tahu,” rayu lelaki itu kepada anggota polis sewaktu di tahan dalam operasi khas tersebut.
Bagaimanapun, alasannya itu tidak mengelakkannya dari dikenakan tindakan undang-undang apabila polis mengarahkannya ke pekarangan pejabat Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPD Segamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Raub Selamat berkata, polis memeriksa 41 buah motosikal dalam Op Khas Ekzos Bising yang diadakan secara menyeluruh di sekitar Segamat sejak 1 Mac sehingga kelmarin.
“Sebanyak sembilan buah motosikal didapati gagal mematuhi paiwaian ditetapkan ketika pemeriksaan pencemaran bunyi oleh Jabatan Alam Sekitar,” katanya.
Menurut Raub, setiap pemilik motosikal yang dikenakan tindakan kesalahan atas ubah suai ekzos juga perlu memasang semula ekzos asal jika mahu menuntut kenderaan yang disita.
“Operasi ini mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat setempat yang berperanan sebagai mata dan telinga kepada pihak polis.
“Kita akan meneruskan operasi ini dari semasa ke semasa bagi memberi kesedaran kepada penunggang motosikal agar mematuhi undang-undang,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE