PUTRAJAYA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengesahkan bahawa bekalan stok benih padi yang sah sentiasa cukup untuk penanaman padi di Semenanjung Malaysia.
Badan induk peladang nasional itu malah memberi jaminan mampu membekalkan pelbagai varieti benih yang diperlukan pesawah bagi kawasan pertanian padi seluas 520,000 hektar.
“Mengikut rekod, stok disahkan Jabatan Pertanian adalah 9,000 tan dan ada yang sedang dalam proses pengesahan sebanyak 39,000 tan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Jumlah tersebut ujar Nafas, adalah melebihi bekalan keperluan semasa iaitu hanya 36,000 tan untuk satu musim penanaman padi di sawah seluruh Semenanjung Malaysia pada masa ini.
Justeru agensi tersebut menasihatkan pesawah agar tidak gusar atas kemampuan Nafas dalam memastikan stok benih sah yang sentiasa mencukupi bagi keperluan penanaman.
Nafas juga komited memastikan bekalan benih diedarkan itu berkualiti dengan harga siling kurang RM35 bagi setiap 20 kilogram yang ditetapkan kerajaan untuk elak isu manipulasi kos.
“Pelantikan Nafas sebagai pemborong tunggal dalam pembelian benih padi sah antara usaha kerajaan untuk banteras pelbagai permasalahan dialami pesawah sebelum ini,” katanya lagi.
Sehingga 12 Mac lalu, sebanyak 212,666 beg yang bersamaan 4,253 tan benih sudah pun diedarkan oleh ejen rasmi melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Semenanjung.
Bahkan, Nafas memaklumkan bahawa anggaran keperluan benih padi yang sah dalam tempoh setahun itu sebenarnya hanya adalah 72,000 tan atau bersamaan 3.6 juta beg sahaja.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melantik Nafas di bawah skim Insentif Benih Padi Sah pada akhir tahun lalu bagi urusan pembekalan kepada 320,000 pesawah terlibat.
Ia kemudian akan diagihkan kepada 10 syarikat berlesen yang dikenal pasti untuk benih itu dibekalkan kepada pesawah dan mengelakkan gejala ketirisan pembayaran subsidi kerajaan.
Agensi tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri yang kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1972 setelah didaftarkan sebelumnya di bawah Akta Persatuan Peladang 1967.
Ketika ini, Nafas dianggotai 14 buah Pertubuhan Peladang Negeri yang disertai 279 buah PPK dengan keahlian 921,931 peserta dari seluruh negara dalam pelbagai bidang pertanian.- UTUSAN ONLINE