Bendera Tok Jebek 154 tahun kurniaan Sultan Ahmad - Utusan Malaysia

Bendera Tok Jebek 154 tahun kurniaan Sultan Ahmad

ARIPIN Said (tengah tiga kanan) menunjukkan bendera Tok Jebek dalam satu seminar di Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang baru-baru ini. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Sehelai bendera pahlawan Pahang, Tok Jebek Tok Akil berusia 154 tahun yang merupakan anugerah Sultan Pahang pertama, Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah kepadanya masih disimpan dengan baik oleh waris pahlawan berkenaan.

Tok Jebek merupakan orang besar berlapan dalam pemerintahan Sultan Ahmad dengan gelaran Panglima Gajah Tunggal, Datuk Setia Raja Jebek Tok Akil yang juga seorang imam perang.

Tokoh berkenaan dilahirkan di Kampung Bohor, Bera dekat sini pada 1842 dan berangkat ke Mekah pada 1924 menunaikan haji serta tinggal di Tanah Suci itu bagi mendalami ilmu Islam.

Tok Jebek difahamkan turut menjadi guru agama di Tanah Suci dan akhirnya meninggal dunia di situ.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, bendera berusia 154 tahun itu dianugerahkan Sultan Ahmad kepada Tok Jebek di Istana Pulau Tawar pada 1867 bagi mengenang jasa pahlawan itu yang terlibat dalam perang saudara di Pahang (1857-1863) dan perang Kelang di Selangor (1869-1873).

Bendera tersebut katanya, merupakan sehelai kain kapas berwarna hijau mempunyai logo grafik bunga melur (melati) empat kelopak berwarna putih.

“Warna hijau yang menjadi latar beriramakan negeri Pahang aman dan makmur manakala empat kelopak bunga melur tersebut memberi erti kawasan pentadbiran Tok Jebek di wilayah Bohor iaitu timur, barat, utara dan selatan.

“Bagaimanapun menurut orang-orang Bohor kawasan pentadbiran empat penjuru itu disebut
sebagai musyrik (timur), maghrib (barat) iaitu dalam bahasa Arab manakala utara selatan pula disebut dalam bahasa sanskrit iaitu paksina dan daksina.

“Empat perkataan itu menjadi lumrah orang-orang Bohor hingga sekarang manakala warna putih bunga tersebut menunjukkan keikhlasan dan hijau juga menunjukkan Islam dan bersultan,” katanya.

Aripin berkata, empat penjuru kelopak melur itu menunjukkan integriti pentadbiran Tok Jebek yang disebut dalam bahasa Arab iaitu sidek, amanah, tabligh, fatanah dengan makna benar, bertanggungjawab, menyampaikan dan bijaksana.

“Pakej yang ada pada kebanyakan pahlawan mereka adalah pendekar dan juga menjadi imam perang, pendakwah mengembang serta memantapkan pengajaran Islam di Pahang dan juga pujangga.

“Tok Jebek termasuk dalam kalangan ini iaitu menjadi imam perang, pandai berlaha buah keras, bernazam dan berzanji serta dikir rebana dan dikenali juga sebagai lebai kampung,” katanya.

Beliau berkata, Tok Jebek pandai menukang perahu kajang dan ia disebutkan dalam Hikayat Pahang susunan Kalthum Jeran yang diterbitkan Jajar Bakti.

Jelasnya, sebelum diberi jawatan orang berlapan iaitu Datuk Setia Raja,Tok Jebek telah pun menjawat gelaran Tok Muda di bawah pentadbiran Sultan Ahmad. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya