Benar rentas negeri tetapi bersasar - Utusan Malaysia

Benar rentas negeri tetapi bersasar

KULJIT SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Arahan larangan pergerakan merentas negeri boleh ditamatkan menerusi langkah bersasar dengan mempertimbang latar belakang pesakit daripada golongan mana dan kadar kebolehjangkitan di sesuatu kawasan.

Pegawai kanan perubatan, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, jika nilai R atau R-Naught atau kebolehjangkitan bagi sesuatu kes positif Covid-19 hanya merekodkan 0.9 atau 0.8, kadar penyebaran wabak mungkin kurang dan di situlah kerajaan dapat membuat keputusan menamatkan larangan merentas negeri untuk sesuatu kawasan.

“Arahan ini sudah terlalu lama dan banyak pihak yang meminta kerajaan melonggarkan peraturan tersebut. Kalau kerajaan meneliti perkara ini, sepatutnya kita sudah boleh membuka sempadan negeri semula. Andai kata kes jangkitan di negeri Melaka dan Negeri Sembilan kurang, kerajaan boleh pertimbangkan untuk merentas negeri.

“Industri pelancongan kita pun boleh bangkit secara beransur. Tetapi, kalau ada kluster yang tinggi sesuatu negeri, di situlah arahan larangan tersebut perlu terus dilaksanakan bagi mengelakkan wabak terus berjangkit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketika ini, kerajaan masih mengekalkan larangan pergerakan merentas negeri manakala pergerakan daerah berkuatkuasa sejak 5 Mac lalu sehingga Khamis ini.

R-Naught merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam kalangan masyarakat yang secara puratanya bilangan individu yang boleh dijangkiti oleh virus yang dibawah oleh kes dalam wabak tersebut.

Jika nilai R adalah empat, ini bermakna, setiap seorang kes positif Covid-19 boleh menyebarkan penyakit kepada orang individu lain. Menurunkan nilai R ke kurang daripada satu secara berterusan akan membantu memutuskan rangkaian wabak.

MOHD. ARSHIL MOIDEEN

Bagaimanapun, pakar perubatan kesihatan awam dari Jabatan Perubatan Tentera Hospital Tuanku Mizan, Kolonel Dr. Mohd. Arshil Moideen berkata, jika kerajaan membenarkan merentas negeri walaupun ketika kes positif Covid-19 kini semakin menurun iaitu antara 1,000 sehingga 2,000 , situasi berbeza tahun lalu yang hanya mencatatkan ratusan kes.

“Bayangkan dalam keadaan sekarang benarkan rentas negeri, kes jangkitan pasti akan jauh lebih tinggi. Lagipun, sekarang program vaksinasi sedang bermula. Apabila sampai peratusan tertentu, barulah kita benarkan rentas negeri tanpa had. Sekarang ini buat lanjutkan sahaja arahan itu.

“Kita belajar pada kejadian yang lepas. Bukti sudah ada selepas banyak kelonggaran diberikan tetapi wabak menjadi semakin teruk. Saya faham kita ingin menyeimbangkan antara ekonomi dan pengurusan wabak tetapi kita memang tiada jalan tengah ke arah itu. Akan ada salah satu aspek yang terkesan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya