Belum ada yang bayar kompaun di PKD - Adham Baba - Utusan Malaysia

Belum ada yang bayar kompaun di PKD – Adham Baba

ADHAM Baba menunjukkan kad khas yang akan diberi kepada penerima vaksin setelah selesai suntikan dos kedua di pejabatnya di Putrajaya. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengesahkan belum ada sesiapa yang membayar kompaun maksimum RM10,000 di pejabat kesihatan daerah (PKD).

Beliau berkata, ini berdasarkan rekod data kementerian itu setakat ini menunjukkan masyarakat mungkin menunggu jika ada pengumuman mengenai isu kompaun.

“Sehingga semalam, tiada sesiapa datang ke PKD untuk bayar dan berdasarkan maklum balas, pihak kita juga tidak akan tolak jika sesiapa hadir buat rayuan pengurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di pejabatnya di sini hari ini.

Ia sebagai mengulas laporan media tertentu yang mendakwa kononnya ada pegawai kesihatan daerah bersikap enggan menerima rayuan pengurangan kompaun kesalahan.

Keadaan itu berbeza daripada kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta pesalah supaya segera membuat rayuan di PKD berhampiran.

“Saya berharap, mereka yang dikompaun boleh hadir terus di mana-mana PKD untuk buat rayuan kerana ada diskaun mengikut tempoh tertentu ditetapkan kerajaan,” tegasnya.

Ini jelasnya, susulan Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula hari ini.

Menyentuh Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa pertama dengan peringkat dos kedua bermula hari ini, beliau berkata, kerajaan akan mengeluarkan kad khas untuk penerima.

Kad unik itu tidak boleh ditiru kerana dilengkapi teknologi kod QR tersendiri dan akan diberi kepada individu yang sudah menerima suntikan kedua vaksin sebagai bukti pengesahan.

“Ia disebut ‘badge’ dan dikeluarkan Kementerian Kesihatan untuk orang tua di luar bandar yang tiada peranti bagi merekodkan butiran mereka dalam aplikasi MySejahtera,” jelasnya.

Menariknya kata Adham, kad itu selain memaparkan nama dan nombor kad pengenalan diri, ia turut memaklumkan jenis vaksin disuntik dan tarikh imunisasi sebagai rujukan data awam.

Pada masa sama, beliau akan berbincang dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar kad itu berfungsi seumpama pasport digital bagi tujuan pergerakan merentas negara.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, seramai 346,508 orang telah menerima dos pertama vaksin setakat 12 tengah malam semalam atau 69.3 peratus daripada sasaran 500,000 orang.

“Ini amat baik dan kita berharap fasa pertama yang meliputi semua petugas barisan hadapan akan tamat menerima suntikan termasuk dos kedua pada akhir bulan depan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan akan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Mudarat Vaksin Covid-19 pada Isnin depan untuk penerima imunisasi yang mendapat kesan sampingan teruk.

Bantuan berkenaan termasuk jika individu tersebut meninggal dunia akibat PICK dan kerajaan sudah pun meluluskan jumlah sumbangan hasil mesyuarat mingguan jemaah Kabinet.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya