Beli oksigen RM1,000 sebulan  - Utusan Malaysia

Beli oksigen RM1,000 sebulan 

ROSIDAH Ahmad (kanan) membetulkan tiub pernafasan dipakai suaminya, Salamin Yusoff yang bergantung tangki oksigen di rumah mereka di Kampung SC, Kluang, Johor. -UTUSAN/ MOHAMAD FAHD RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Bekas mekanik kereta terpaksa membelanjakan kira-kira RM1,000 setiap bulan semata-mata untuk mendapatkan oksigen selepas perlu bergantung kepada bekalan itu sejak disahkan menghidap kanser paru-paru pada 2018.

Salamin Yusoff, 54, berkata, dia juga perlu menyewa tangki untuk mengisi gas tersebut sebanyak RM120 bagi membantunya bernafas seperti biasa.

Katanya, kanser dihidapinya itu kini juga sudah berada pada tahap empat, manakala bekalan tangki oksigen berkenaan hanya mampu bertahan penggunaannya sekitar tiga atau empat hari.

“Saya memerlukan bantuan pernafasan sepanjang masa dan menyewa satu balang gas bernilai RM120 satu tong.

“Untuk menampung kos perbelanjaan berkenaan, saya hanya bergantung harap kepada hasil jualan kuih isteri, Rosidah Ahmad, yang memperoleh sekitar RM30 sehari.

“Anak-anak serta ahli keluarga ada membantu, tetapi, mereka hanya dapat bantu semampu yang mungkin kerana masing-masing juga ada komitmen dan keluarga sendiri,” katanya ketika ditemui di kediaman di Kampung SC di sini, semalam.

Terdahulu, Salamin menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia Negeri Johor, Kamal Ariffin Abdul Rahman.

Menurut Salamin, mereka pada masa sama juga perlu menyara dua daripada tujuh orang anak yang masih bersekolah di sebuah sekolah rendah dan sekolah menengah di Batu 4, Kluang.

“Satu permohonan pernah dimajukan kepada pihak Baitulmal setahun lalu, namun, masih belum mendapat sebarang maklum balas hingga hari ini.

“Saya memang tak boleh buat kerja dan hanya mampu duduk atau berbaring di atas katil, malah, untuk pergi ke bilik air pun perlu dipapah oleh isteri,” katanya.

Bagaimanapun, Salamin bersyukur kerana mendapat bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak Oktober tahun lalu.

Sementara itu, orang ramai yang ingin memberikan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Salimin, 151454032699 atau menghubungi talian 019-733 2445.

Dalam pada itu, Kamal Ariffin turut menyerahkan bantuan bekalan makanan selain tilam angin sebagai kegunaan Salamin dan keluarganya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN