Bekerja dari rumah masih lagi terpakai - Utusan Malaysia

Bekerja dari rumah masih lagi terpakai

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi perkhidmatan awam dan swasta masih lagi terpakai walaupun tiada lagi negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sektor perkilangan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga mengekalkan polisi itu.

“Jumlah kehadiran pegawai ke pejabat bagi negeri dengan status PKP Bersyarat (PKPB) ialah pada tahap paling maksimum 30 peratus sahaja,” kata beliau pada sidang akhbarnya hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulangi jawapan ketika ditanya pemberita dalam sidang akhbar pada 4 Mac lalu sama ada kerajaan ada mengeluarkan arahan pembatalan BDR.

Beliau juga mengesahkan tiada laporan aduan diterima Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman dan kementerian berkenaan berhubung isu itu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, bagi negeri dikenakan PKP Pemulihan (PKPP), jumlah kedatangan pegawai ke pejabat boleh pada tahap optimum dan beroperasi skala sepenuhnya.

“Bagaimanapun, ini masih lagi tertakluk kepada keputusan daripada ketua jabatan untuk melaksanakan arahan BDR mengikut kesesuaian cara kerja masing-masing,” kata beliau.

Bagi kawasan perindustrian di negeri PKPB, syarikat terbabit boleh beroperasi dengan 30 peratus kehadiran kumpulan pengurusan dan 100 peratus pekerja kumpulan sokongan.

Sementara itu tambah beliau, bagi lima negeri lain dan dua lagi Wilayah Persekutuan yang sudah berstatus PKPP pula, syarikat perkilangan terlibat boleh beroperasi secara sepenuhnya.

Ditanya mengenai ada ibu bapa mengambil kesempatan bercuti di negeri tertentu selepas selesai menghantar anak masuk ke institusi berasrama, beliau berkata, ia tidak wajar berlaku.

“Jika ditahan polis kerana didapati merayau, mereka boleh diambil tindakan dan ibu bapa kena bertanggungjawab, bukan cuba bohong lepas habis hantar anak masuk asrama,” katanya.

Namun, ibu bapa terbabit katanya, dibenarkan bermalam seharian sebelum balik ke negeri asal jika jarak perjalanan ditempuhi agak jauh dengan cukup surat kemasukan anak ke asrama. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN