KOTA TINGGI: Bekas tapak kilang yang telah enam tahun terbengkalai tanpa pembangunan di Felda Pasak di sini bakal menjadi lokasi untuk projek ternakan arnab bernilai RM10 juta.
Pengarah Jabatan Pembangunan Pertanian Ternakan (JPPT), Hasrin Ismail berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan tahun ini sekali gus menjadi hab arnab pedaging terbesar bagi Felda Wilayah Johor Bahru.
“Ada kelulusan untuk program ternakan arnab di beberapa kawasan dalam Semenanjung namun di Felda Pasak ini akan dibangunkan dengan lebih fokus dan berpusat. Dari segi perancangan kita mahu jadikan ladang ternakan di sini lengkap dengan segala fasiliti termasuk pusat penyembelihan, pemprosesan dan semua peringkat proses.
“Bagi projek arnab konsep komersial rintis ini juga, Felda akan salurkan geran sebanyak RM10 juta untuk pembinaan infrastruktur yang mana jangkaan dalam tahun ini kita akan mulakan secepat mungkin,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek rintis Pasak, Wilayah Johor Bahru dekat Kota Tinggi baru-baru ini.
Yang turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Felda, Rasman Ithnain; Pengurus Besar Felda Wilayah Johor Bahru, Zuwairi Amin dan Pengurus Felda Pasak, Mohamed Z. Affindi Mohamed Ali.
Dalam pada itu Rasman berkata, usaha untuk menjadikan Felda Pasak salah satu hab ternakan arnab secara besar-besaran adalah tepat tambahan pula permintaan terhadap daging arnab di negara ini amat tinggi.
“Felda sangat beruntung kerana sudah ada pasaran sendiri di mana terdapat lebih 100 D’mart di setiap Felda dalam seluruh negara. Itu pun untuk permintaan daging arnab tidak cukup sebab itu saya setuju dengan impian Felda ini dan menyokong penuh rancangan itu.
“Lokasi juga strategik kerana tapak kilang ini laluan utama ke Desaru. Pembangunan yang akan dilakukan ini secara tidak langsung bakal menjadi produk tarikan pelancongan baharu bagi daerah ini selain air terjun dan pantai yang ada,” katanya.