Bekas tahanan POCA tidak serik menyamun - Utusan Malaysia

Bekas tahanan POCA tidak serik menyamun

Suami isteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Tidak serik. Itu yang dapat digambarkan terhadap perbuatan seorang lelaki yang tetap  melakukan kegiatan curi kenderaan dan pecah rumah di daerah ini sejak awal tahun ini meskipun pernah dibuang daerah selepas dikenakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Kegiatan suspek yang juga ketua kumpulan Wan POCA melakukan kegiatan tersebut bersama tiga lagi lelaki dan isterinya berusia 16 hingga 35 tahun itu terbongkar selepas mereka diberkas dalam tujuh lokasi serbuan bermula 26 Februari hingga 3 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden, Shafa’aton Abu Bakar berkata, bertindak atas laporan dan risikan, polis kemudian melancarkan operasi lejang khas dengan menyerbu tujuh lokasi di daerah ini, Petaling Jaya dan Rawang termasuk kedai pajak gadai.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita serta merampas sebuah motosikal bersama sembilan rangka motosikal, enjin motosikal dan komponen lain membabitkan nilai rampasan RM20,000.

“Bagi barangan rampasan pecah rumah yang dirampas di kedai pajak gadai membabitkan cincin dan rantai tangan emas berserta resit dengan nilai rampasan RM5,000.

“Kumpulan ini mensasarkan motosikal Yamaha LC135, Yamaha RXZ dan Honda EX5,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Shafa’aton memberitahu, mereka juga akan menjual motosikal itu kepada pendatang asing dengan harga RM500 hingga RM1,000 mengikut jenis kenderaan dan hasil jualan akan dibahagi sesama mereka.

“Bagi barangan kemas pula akan diberi kepada isteri suspek pertama iaitu Wan Poca untuk dipajak ke kedai pajak gadai.

“Suspek utama berusia 24 tahun itu memiliki 19 rekod jenayah lampau membabitkan 16 kes jenayah dan tiga kes dadah di mana dia sebelum ini tinggal di Johor sebelum dikenakan Poca dan dibuang daerah ke Kuang, di sini,” jelasnya.

Beliau berkata, soal siasat suspek mengaku terbabit 15 kes curi kenderaan dan satu kes pecah rumah.

“Motosikal dan rangka yang ditemukan dilaporkan hilang di Sungai Buloh, Kuala Selangor dan Kepong.

“Empat lelaki itu direman sehingga esok manakala isterinya dibebas dengan jaminan polis kerana menjaga anak yang baru berusia dua bulan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 kanun sama,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya