KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus hartanah syarikat minyak dan gas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini terhadap 11 pertuduhan rasuah melibatkan wang berjumlah RM2.6 juta berhubung projek pembinaan empat buah stesen minyak di Selangor, Melaka dan Johor.
Di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam, Len Chia Whey mengaku tidak bersalah terhadap 13 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dan menerima rasuah berjumlah RM990,579.
Turut didakwa semalam, isterinya Tong Karen, 36, terhadap lima pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang bernilai RM188,000.
Hari ini, Chia Whey, 37, mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan meminta suapan sebanyak RM480,000 daripada Mohamed Shariff Abdul pada Disember 2017 di sebuah restoran di bangunan MRCB di sini.
Wang itu didakwa sebagai dorongan membantu Mohamed Shariff mendapatkan perjanjian reka dan bina bagi projek pembinaan tiga buah stesen minyak masing-masing di Tanjung Karang, Semabok dan Tebrau.
Tertuduh turut didakwa terhadap 10 tuduhan menerima suapan bernilai hampir RM2.14 juta daripada beberapa individu melibatkan lima keping cek milik beberapa buah syarikat.
Wang tersebut sebagai upah untuk dirinya bagi membantu Syarikat KK Choong Synergy Sdn. Bhd. mendapatkan sub-kontrak perjanjian reka dan bina empat buah stesen minyak di tiga buah negeri tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 12 Disember 2018 dan 19 Julai 2019 di beberapa lokasi berbeza iaitu di Bangsar Village II, sebuah kondominium di Cheras dan di tempat letak kereta di pejabat KK Choong Synergy Sdn. Bhd., Bukit Jalil di sini.
Semua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide dan Abdul Rashid Sulaiman. Tertuduh diwakili peguam-peguam Gooi Soon Seng dan Ooi Pen Lyn.
Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh dijamin RM100,000 dengan dua penjamin serta melapor diri ke pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 16 April ini untuk sebutan kes. -UTUSAN ONLINE