SHAH ALAM: Gara-gara memberi maklumat dan nombor pelanggan prabayar, seorang bekas pengarah pemprosesan pembayaran, perancangan peranti dan pemenuhan sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka dipenjara sebulan dan didenda RM61,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Rozilah Salleh turut memerintahkan tertuduh, Norazman Mohd. Nor, 50, dipenjara 14 bulan jika gagal membayar denda tersebut selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan terhadapnya.
Norazman yang telah bekerja selama 26 tahun bersama syarikat telekomunikasi terkemuka itu hanya mampu menangis dan terduduk ketika mendengar keputusan hakim.
Berdasarkan hukuman penjara, Norazman dijatuhi penjara sebulan bagi setiap pertuduhan bagaimanapun kesemuanya berjalan serentak.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa menerima rasuah RM10,200 daripada dua individu berusia 45 dan 48 tahun secara pindahan dalam talian milik sebuah syarikat ke dalam akaun miliknya.
Wang tersebut diterima sebagai upah memberikan maklumat dan nombor-nombor pelanggan prabayar syarikat telekomunikasi itu kepada kedua-dua individu terbabit.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di dua buah bank di daerah Petaling Jaya antara 24 Mei 2017 hingga 7 Februari 2019.
Mengikut keempat-empat pertuduhan, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Rozilah dalam penghakimannya berharap tertuduh insaf dan berjanji tidak akan melakukannya pada masa akan datang.
“Awak boleh menghentikannya dan mempunyai pilihan untuk menolaknya (rasuah),” jelasnya.
Sementara itu, Norazman mengaku tidak bersalah atas 24 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM304,989.50 termasuk dalam bentuk dua keping cek di antara 14 Mei 2014 hingga 11 September 2020.
Namun, Norazman yang ditamatkan perkhidmatan di syarikat telekomunikasi terkemuka itu pada 10 Mac lalu dibebaskan dan dilepaskan oleh pihak mahkamah bagi semua pertuduhan tersebut.
Mewakili tertuduh, peguam Muhammad Afiq Ab. Aziz dan Muhammad Hanis Nasrullah Mohd. Pauzi memohon anak guamnya hanya dipenjara sehari dan berjalan serentak selain denda paling minimum kerana perlu menanggung keluarganya selain mempunyai penyakit kronik berhubung semput, darah tinggi dan jantung.
“Anak guam saya merupakan penanggung tunggal dan tidak mempunyai sumber pendapatan tetap,” katanya.