TEMERLOH: Bekas wartawan sambilan di negeri ini, Harun@Sharifuddin Mohamed, 70, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh di sini hari ini.
Allahyarham aktif sebagai wartawan sambilan sejak awal 1980- an sehingga tahun lalu dengan menyertai pelbagai agensi media cetak dan elektronik.
Menurut anaknya Norhazwani Nadiah, 36, bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi semua ahli keluarga kira-kira pukul 10.53 pagi.
“Arwah bapa menerima rawatan rapi di hospital berkenaan akibat komplikasi kancer prostat dan buah pinggang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Norhazwani berharap rakan-rakan arwah mendoakan yang terbaik dan menghalalkan makan minum bapanya sepanjang hayatnya.
Sementara itu, bekas wartawan Utusan Malaysia, Ali Mahmood menyifatkan arwah sebagai rakan yang mesra, berterus-terang dan tidak lokek membantu rakan yang berada dalam kesusahan.
Menurutnya, Harun yang mesra dipanggil Abang Din seorang yang komited dalam tugas sebagai wartawan kerana sanggup berada di lokasi tepat pada waktunya walaupun beratus kilometer dari rumah.
Sementara itu bekas wartawan sambilan Berita Harian, Ishak Ismail@Wan Kemat berkata, arwah dianggap sebagai ayahanda kepada wartawan muda dan pakar rujuk mendapat ‘intro’ terbaik.
Menurutnya, Pahang kehilangan tokoh wartawan hebat yang mewarnai dunia pemberitaan di negeri ini.- UTUSAN ONLINE