Bekas pekerja kilang ditahan samun bekas majikan - Utusan Malaysia

Bekas pekerja kilang ditahan samun bekas majikan

Peti simpanan wang yang dipecahkan seorang bekas pekerja kilang dalam satu kejadian di Taman Tan Sri Yaakob, di sini kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis berjaya menyelesaikan kes samun melibatkan sebuah kilang di Taman Tan Sri Yaakob di sini kelmarin dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas seorang bekas pekerja kilang itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah itu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek yang berusia 59 tahun itu ditahan di Taman Daya, pada pukul 2.30 petang, semalam.

Menurut beliau, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu oleh pemilik kilang pada pukul 6.30 petang, kelmarin.

“Pengadu yang berusia 50 tahun membuat laporan bahawa peti simpanan wang di kilang berkenaan telah dipecahkan dan kerugian dianggarkan sebanyak RM200,000.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 59 tahun yang merupakan bekas pekerja kilang berkenaan, sehari selepas kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Dzulkhairi, hasil soal siasat mendapati, suspek mengaku telah mencuri wang sebanyak RM35,000 daripada kilang berkenaan.

“Berdasarkan soal siasat, suspek memberitahu telah menggunakan wang sebanyak RM25,000 untuk membayar hutang ah long.

“Selebihnya telah digunakan untuk berjudi. Dalam masa sama, polis telah merampas sebuah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM650 daripada suspek” ujarnya.

Dzulkifli turut memberitahu, pemeriksaan terhadap suspek mendapati bahawa dia tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing turut mendapati negatif dadah.

“Suspek kini dikenakan tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyimpan wang tunai dalam jumlah yang besar di kediaman mahupun premis perniagaan mereka,” ujarnya lanjut.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya