Bekas KSU kekal dipenjara tiga tahun, denda RM3 juta - Utusan Malaysia

Bekas KSU kekal dipenjara tiga tahun, denda RM3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman kekal menjalani hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3 juta kerana bersubahat dengan anak sulungnya menerima rasuah RM627,636.

Mahkamah Tinggi di sini turut mengekalkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM9.6 juta terhadap anaknya, Ahmad Zukhairi, 39, atas empat tuduhan meminta dan menerima suapan berhubung kesalahan sama.

Jika kedua-dua denda gagal dibayar, Mohd. Arif diperintah menjalani hukuman penjara tiga tahun manakala Ahmad Zukhairi selama 10 tahun.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin menetapkan demikian selepas menolak rayuan Mohd. Arif, 64, dan anaknya, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati mereka bersalah terhadap semua pertuduhan.

Aslam berpuas hati bahawa Hakim Azura Alwi tidak terkhilaf ketika mensabitkan mereka selain berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen-elemen yang terkandung dalam pertuduhan.

Aslam bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda ditangguhkan sementara menunggu rayuan didengar di Mahkamah Rayuan. Notis rayuan perlu difailkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Mahkamah turut menaikkan jaminan RM500,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini kepada RM800,000 setiap seorang.

Terdahulu, peguam Guok Ngek Seong yang mewakili kedua-duanya memohon agar pelaksanaan hukuman penjara dan denda ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, pihaknya tiada bantahan terhadap penangguhan hukuman penjara, namun denda tetap perlu dibayar semalam.

Wan Shaharuddin membantah penangguhan denda atas alasan jika Mahkamah Tinggi membenarkannya, tindakan tersebut dikhuatiri akan menyebabkan kebanjiran permohonan seumpama itu di mahkamah rendah.

Hujah pendakwa raya, pihak pembelaan perlu membuktikan keadaan-keadaan istimewa bagi membolehkan penangguhan dibenarkan. Denda yang telah dibayar, boleh dikembalikan jika perayu menang kesnya di peringkat rayuan.

Mohd. Arif didakwa bersubahat dengan Ahmad Zukhari menerima rasuah berjumlah RM627,636 di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia di sini antara pukul 4 petang dan 7 malam pada 23 Ogos 2016.

Ahmad Zukhairi didakwa menerima suapan wang tunai dolar Singapura jumlah yang sama daripada Pengarah Wazlina Sdn. Bhd. (Wazlina), Mohd. Safian Mohd. Salleh pada masa, tarikh dan tempat sama.

Suapan itu sebagai upah untuk Ahmad Zukhairi dan bapanya kerana memberikan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid di empat buah pulau terpencil di Sandakan, Sabah bernilai RM60 juta kepada syarikat sekutunya, Eramaz Sdn. Bhd. (Eramaz).

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Pencegahan Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, ahli perniagaan itu didakwa meminta suapan dua peratus bernilai RM1.2 juta daripada Mohd. Safian sebagai upah untuknya dan bapanya kerana membantu Eramaz mendapat Projek BELB di Dorsett Grand Subang Hotel, Subang Jaya pada 17 Mac 2016.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Ahmad Zukhairi didakwa menerima wang tunai RM130,000 daripada kontraktor Zul Fadli Rozi sebagai upah membantu syarikat HH Global Construction Sdn. Bhd. untuk mendapatkan projek cadangan membina dan menyiapkan Dataran Rekreasi di Tasik Kenyir, Terengganu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Permai Golf & Country Club, Kota Kemuning pukul 8 pagi, 18 Ogos 2016 dan di Garden Course Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam pada September 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN