KUALA LUMPUR: Seorang bekas anggota polis berpangkat koperal dijatuhi hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mensabitkannya terhadap tuduhan membunuh anak tirinya yang berusia dua tahun, hampir enam tahun lalu.
Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Khairuanuar Baharuddin, 39, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes tersebut.
Mahkamah berpendapat, semua keterangan ikut keadaan dalam kes itu menjurus kepada satu kesimpulan iaitu tertuduh membunuh kanak-kanak perempuan tersebut.
“Hanya ada satu hukuman mandatori yang diperuntukan oleh undang-undang iaitu gantung sampai mati,” ujar Collin ketika menyampaikan keputusannya.
Sejurus selepas keputusan diumumkan, Muhammad Khairuanuar yang kemas berkemeja kuning dilihat menekup mukanya sebelum berbual-bual dengan dua wanita dipercayai ahli keluarga yang duduk di galeri awam.
Ketika bekas anggota polis itu dibawa keluar dari kamar mahkamah, dua-dua wanita itu menangis sambil berpelukan.
Lelaki itu disabitkan membunuh Hanis Amanda Mohd. Zafil di antara pukul 7 pagi dan 7.30 malam, 6 November 2015 di sebuah kondominium di Seksyen 5, Wangsa Maju di sini.
Pendakwaaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria manakala tertuduh diwakili oleh peguam Fahri Azzat.
Ketika perbicaraan berlangsung, seramai 15 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh dipanggil memberi keterangan.
Kes menyayat hati itu dilaporkan media pada November 2015 yang membawa kepada pembukaan akaun Facebook atas nama `Keadilan Untuk Amanda’.
Kisah itu kembali tular dan mendapat perhatian netizen pada waktu itu setelah satu status menuntut keadilan kanak-kanak itu dimuat naik di akaun tersebut. – UTUSAN ONLINE