JEMPOL: Seorang wanita berputih mata selepas mengalami kerugian sebanyak RM10,800 apabila terpedaya dengan kekasih alam maya yang baru dikenalinya di Facebook.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa yang merupakan pesara jururawat berusia 54 tahun itu mula menjalinkan hubungan dengan seorang individu yang menggunakan identiti lelaki warganegara Poland yang dikenalinya secara dalam talian.
Menurutnya, hubungan berkenaan kemudiannya menjadi lebih erat dan mangsa yang beralamat di Bandar Sri Jempol mula menjadi kekasih kepada rakan maya berkenaan yang merupakan sindiket Love Scam.
“Mangsa dikaburi dengan janji-janji kekasihnya itu untuk menerima barang-barang seperti beg tangan, kasut, baju, barangan kemas dan duit sebagai tanda persahabatan dan hubungan yang makin erat.
“Seperti biasa helah ini berakhir dengan barangan yang dikirimkan secara pos berkenaan telah tersangkut di pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Chang Hook berkata, mangsa kemudiannya telah dihubungi oleh ejen penghantaran bagi menyelesaikan penghantaran barang yang tersekat berkenaan dan mangsa diminta untuk melakukan bayaran bagi perkhidmatan tersebut.
Menurutnya, mangsa yang percaya dengan penipuan tersebut telah melakukan bayaran berjumlah RM10,800 untuk melepaskan barang yang tersangkut di pihak berkuasa berkenaan.
“Mangsa mulai merasa tertipu apabila dikehendaki melakukan pembayaran lagi dan segera membuat laporan polis di Balai Polis Bahau semalam bagi tindakan selanjutnya.
“Kami harap orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan perhubungan yang terjalin secara maya ini walaupun sering diberikan janji-janji manis pemberian barang-barang mewah melalui hubungan berkenaan,” katanya.
Jelasnya, disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.-UTUSAN ONLINE