CYBERJAYA: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Tanjung Mas daripada kapasiti 10 juta liter sehari (JLH) kepada 30 JLH, bagi mengatasi ketidakcukupan bekalan air daripada loji-loji sedia ada yang membekalkan bekalan air ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan akhbarnya memaklumkan, tindakan jangka pangjang tersebut membabitkan projek dengan anggaran kos sebanyak RM50 juta, adalah di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan dijangka siap pada penghujung tahun 2023.
“Secara keseluruhan, Kerajaan Persekutuan melalui PAAB melaksanakan projek menaik taraf tiga loji rawatan air termasuk LRA Tanjung Mas dengan anggaran kos sebanyak RM 176 juta, bagi meningkatkan kapasiti reka bentuk kepada 80 JLH bekalan air di negeri Kelantan.
“Kerajaan Persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah melaksanakan projek penggantian paip sepanjang 42 kilometer (km) di bandar Kota Bharu, Kelantan.
“Projek ini bertujuan untuk menambah baik pembekalan bekalan air ke bandar Kota Bharu dan kawasan sekitarnya serta telah siap dan mula beroperasi pada 8 Mac lepas,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, SPAN menjelaskan, projek penggantian paip sepanjang kira-kira 225 km sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui PAAB di seluruh negeri Kelantan dan melibatkan anggara kos sebanyak RM88 juta.
“Ia bertujuan untuk mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) dan menambah baik pembekalan air di negeri Kelantan.
“SPAN juga telah meluluskan projek pembinaan paip secara terus dari Tangki Merbau ke HRPZ II. Projek ini akan dilaksanakan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan dijangka akan siap serta mula beroperasi selewat-lewatnya pertengahan Julai ini,” ujarnya.
Sebagai langkah penyelesaian jangka pendek pula, SPAN memaklumkan, AKSB telah melaksanakan kerja-kerja pengalihan paip ‘t-off’ bagi menangani masalah gangguan bekalan air di HRPZ II susulan penyiapan dan pengoperasian projek penggantian paip lama kepada paip baru yang dilaksanakan oleh PAAB di Bandar Kota Bharu.
“Setelah penukaran paip ini, kadar aliran air ke HRPZ II adalah berjumlah 32 hingga 42 m3/jam bagi wad lama dan 15 hingga 17 m3/jam bagi wad sajian serta 10 hingga 13 m3/jam bagi wad Fasa 1.
“Kerja-kerja penukaran ini telah siap dilaksanakan pada 22 Mac (hari ini). Selain itu, SPAN juga telah melaksanakan program khidmat masyarakat dengan membina satu sistem tangki sedutan bawah tanah berkapasiti 13,500 liter.
“Sistem ini telah mula beroperasi pada 5 November lepas bagi membekalkan bekalan air ke wad lama hospital tersebut,” katanya.
Semalam media melaporkan, masalah bekalan air di HRPZ II yang sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu kini masih kritikal dan memerlukan penyelesaian segera.
Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Selasawati Ghazali dilaporkan berkata, hospital itu memerlukan kira-kira 5,000 gelen air sehari untuk pelbagai kegunaan terutamanya dalam operasi penting seperti pembedahan dan rawatan pesakit.
Beliau juga dipetik berkata, keperluan asas itu juga diperlukan untuk kemudahan kira-kira 4,000 kakitangan hospital dan orang awam khususnya waris atau keluarga yang menunggu pesakit di wad-wad.- UTUSAN ONLINE