Bazar Ramadan: jangan terburu-buru bayar pendahuluan - Utusan Malaysia

Bazar Ramadan: jangan terburu-buru bayar pendahuluan

MOHD. RIDZUAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) menasihatkan para peniaga bazar Ramadan di negara ini supaya tidak terburu-buru membuat pembayaran wang pendahuluan bagi menyewa tapak bazar masing-masing.

Presidennya, Datuk Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, hal ini berikutan situasi semasa berhubung penularan jangkitan Covid-19 masih belum reda sepenuhnya.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga mungkin dilaksanakan semula jika berlaku peningkatan kes jangkitan sehingga memungkinkan operasi bazar Ramadan dihentikan sehingga wang pendahuluan penyewa-penyewa bazar berkenaan tidak akan dipulangkan oleh penganjur.

“Kalau PKP dilaksanakan, tidak ada sesiapa hendak datang. Jadi, saya minta peniaga-peniaga jangan bayar duit sewa tapak terlebih dahulu sehingga pastikan (PKP dilaksanakan semula).

“Saya tidak mahu peniaga ini tertipu dengan mana-mana penganjur yang meminta duit pendahuluan awal, akhirnya apabila kerajaan laksanakan (semula) PKP, bazaar tidak dibenarkan, susah lah nak dapat balik duit itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismal Sabri Yaakob mengumumkan bazar Ramadan dan Aidilfitri dibenarkan beroperasi sepanjang bulan Ramadan.

“Bagaimanapun, keadaan ini masih tertakluk kepada beberapa prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar.

Mohd. Ridzuan berkata, isu wang pendahuluan bazar Ramadan pernah berlaku pada tahun lalu sehingga memaksa menteri campur tangan dalam hal berkenaan.

Pada waktu itu, katanya, penganjur telah mengutip wang pendahuluan, tetapi, bazar malam tidak dibenarkan berikutan pelaksanaan PKP.

Mohd. Ridzuan menambah, penganjur bagi setiap bazar Ramadan juga perlu mempunyai inisiatif agar SOP yang ditetapkan dijalankan lebih ketat serta tidak merumitkan dan menyusahkan peniaga atau pengunjung.

“Memang benda ini (SOP) merumitkan dan menyusahkan, tetapi kita kena cari jalan keluar bagi kaedah ini.

“Ini melibatkan nyawa, lagipun kerajaan sudah tetapkan kompaun yang tinggi. Penganjur boleh dikenakan sehingga RM50,000,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Bazar Karat Johor Bahru, Fuad Rahmat berpendapat, pendekatan memperketatkan SOP bazar Ramadan adalah langkah kerajaan untuk memberi kesedaran kepada rakyat dengan hukuman kompaun yang tinggi.

“Dengan demikian, ia akan menyebabkan orang ramai takut ke bazar Ramadan dan secara tidak langsung objektif untuk meningkatkan ekonomi para peniaga khususnya penjaja tidak tercapai,” katanya.

Katanya, kerajaan perlu memperhalusi perkara ini dengan lebih lagi kerana penjaja dan rakyat telah bosan dengan bebanan hutang.

“Dalam keadaan norma baru, rakyat sedia maklum apa yang perlu dipraktikkan. Kerancakan jualan perlu ada agar penjaja mampu menggalas hutang keluarga setahun PKP (lalu) dan persediaan Aidilfitri nanti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya