Bazar Ramadan, Aidilfitri, solat tarawih di masjid dibenarkan - Utusan Malaysia

Bazar Ramadan, Aidilfitri, solat tarawih di masjid dibenarkan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini kembali dapat menunaikan ibadat solat sunat tarawih di masjid dan surau seluruh negara sepanjang Ramadan bermula bulan depan.

Berita gembira itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sambil menambah, bazar Ramadan dan Aidilfitri juga akan dibenarkan beroperasi.

“Bagaimanapun, keadaan ini masih tertakluk kepada beberapa prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi kekang penularan wabak Covid-19,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

 Awal Ramadan dijangka bermula 13 April depan bergantung ketetapan Majlis Raja-Raja. Tahun lalu buat julung kalinya dalam sejarah, kerajaan melarang operasi dua bazar tersebut.

Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang menyaksikan ramai peniaga terpaksa menjual secara dalam talian dengan pelanggan perlu membuat tempahan.

Malah, umat Islam juga menunaikan solat tarawih di rumah masing-masing secara berjemaah dengan rakan dan ahli keluarga apabila semua masjid dan surau diarahkan untuk ditutup.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini turut menetapkan SOP tegas bagi penganjuran dua bazar berkenaan.

“Antaranya, lokasi itu dibuat di kawasan terbuka, ada laluan sehala masuk dan keluar berbeza, pendaftaran aplikasi MySejahtera di tempat masuk dan kawalan jumlah pengunjung,” katanya.

Sementara waktu operasi bazar Ramadan ujarnya, bermula pukul 3 petang sehingga 8 malam sahaja, manakala tempoh bazar Aidilfitri pula seawal dari 10 pagi sehingga 12 tengah malam.

Mesyuarat tersebut tambah beliau, turut bersetuju membenarkan semula solat tarawih dilaksanakan di semua masjid dan surau secara berjemaah di seluruh negara sepanjang Ramadan.

SOP ibadah berkenaan bagaimanapun kekal seperti sedia ada dengan semua jemaah perlu jarak ketika solat, memakai pelitup muka, mengimbas suhu dan mendaftar diri sebelum masuk.

“Jumlah maksimum kehadiran jemaah pula namun adalah tertakluk kepada pertimbangan dibuat pihak berkuasa agama negeri kerana ia di bawah bidang kuasa mereka,” katanya lagi.

Setakat ini, terdapat sejumlah 6,465 buah masjid serta 18,257 buah surau di seluruh negara yang direkodkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di seluruh negara setakat akhir bulan lalu.

Sabah muncul sebagai negeri yang mempunyai paling banyak masjid di negara ini iaitu berjumlah 1,072 buah diikuti Johor sebanyak 822 buah dan seterusnya Perak dengan 649 buah.

Selangor pula unggul sebagai negeri yang paling banyak surau di Malaysia iaitu berjumlah 2,170 buah disusuli Kedah sebanyak 2,088 buah dan berikutnya Johor dengan 2,042 buah. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN