TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas 4,000 kain tudung yang dibawa masuk secara tidak sah ke negara ini melalui pangkalan haram Simpangan di sini, semalam.
Rampasan kira-kira pukul 7 petang itu merupakan hasil rondaan rutin yang dilakukan oleh anggota PGA Batalion 7 menerusi penugasan Op Benteng Covid-19 di sempadan Malaysia-Thailand.
Pegawai Pemerintah Medan PGA Batalion 7, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback yang digunakan untuk mengangkut tudung ‘haram’ itu.
Katanya, nilai rampasan keseluruhan dalam kes itu mencecah RM160,000.
“Semasa melakukan rondaan, anggota PGA telah terserempak dengan sebuah kereta mencurigakan di lokasi. Sebaik sahaja menyedari kehadiran PGA, pemandunya segera melarikan diri menaiki perahu ke negara jiran.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan bungkusan plastik di tempat duduk belakang dan butnya yang mengandungi 4,000 helai tudung wanita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nor Azizan memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan tudung terbabit dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Kes disiasat bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.-UTUSAN ONLINE