Batal majlis pertunangan selepas dicekup polis - Utusan Malaysia

Batal majlis pertunangan selepas dicekup polis

JSJN IPK Melaka merampas enam peket plastik kecil berisi daun kering disyaki ganja seberat 58 gram serta 40 peket plastik lutsinar berisi ketulan mampat disyaki ganja dengan berat keseluruhan 284 gram. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki terpaksa membatalkan majlis pertunangannya yang sepatutnya berlangsung Sabtu ini selepas diberkas polis dalam serbuan di Alai, Telok Mas di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.10 tengah malam selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah bersama sepupunya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari JSJN Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Beliau berkata, penahanan lelaki itu yang bekerja di sebuah syarikat kurier susulan tangkapan suspek pertama di sebuah kondominium di Ujong Pasir, kira-kira pukul 11 malam.

“Kita menahan suspek pertama yang juga sepupunya berusia 24 tahun selepas menjumpai enam peket plastik kecil berisi daun kering disyaki ganja seberat 58 gram di lokasi.

“Susulan tangkapan itu, kita membuat serbuan kedua dan menahan suspek selepas menjumpai sebanyak 40 peket plastik lutsinar berisi ketulan mampat disyaki ganja dengan berat keseluruhan 284 gram,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, kesemua dadah milik suspek kedua ditemukan di dalam stor rumah berkenaan dengan anggaran nilai pasaran RM800.

“Kedua-dua suspek dipercayai aktif mengedar dadah dalam kawasan Alai dan Ujong Pasir. Hasil saringan ujian air kencing terhadap mereka bagaimanapun didapati negatif dadah.

“Kita turut menyita dua buah motosikal digunakan kedua-dua suspek bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, hasil soal siasat, suspek berusia 26 tahun itu memberitahu, dia terpaksa membatalkan majlis pertunangannya Sabtu ini selepas dikenakan perintah tahanan reman tujuh hari sehingga 16 Mac ini.

Kedua-dua suspek disiasat mengikut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan Seksyen 39A (2) akta sama kerana memiliki ganja. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya