KOTA BHARU: Perjalanan pentadbiran negara tetap lancar tanpa sebarang masalah biarpun sudah hampir empat bulan Parlimen tidak bersidang, susulan pelaksanaan Ordinan Darurat di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kali terakhir Parlimen bersidang pada Disember lalu iaitu ketika Belanjawan 2021 diluluskan.
“Sekarang bulan Mac, baru masuk empat bulan (Parlimen) tidak bersidang, tidak timbul masalah pun (perjalanan kerajaan).
“Kalau (darurat) 1969 dulu, dua tahun Parlimen tidak bersidang, itu pun tak jadi masalah kepada perjalanan kerajaan itu sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Malaysia Prihatin di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Takiyuddin berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sekali lagi menggesa supaya Parlimen bersidang dengan alasan ancaman Covid-19 sudah berkurangan.
Tegas Setiausaha Agung Pas itu, Parlimen akan bersidang seperti biasa selepas Ordinan Darurat tamat, mengikut tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Seperti yang saya beritahu sebelum ini, Kabinet beri pandangan berdasarkan fakta dan sains.
“Sains itu Covid-19, fakta pula sebagaimana saya sebut, ramai kumpulan berisiko dalam Parlimen. Saya dan Datuk Pa (Mustapa) sendiri pun warga emas, itu perlu diambil kira,” katanya.
Dalam perkembangan lain Takiyuddin berkata, pihaknya melihat tidak ada keperluan untuk kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, wujudnya gerakan dalam kalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri yang mahu menjatuhkan beliau.
Kata beliau, Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) yang diwujudkan khas untuk mengendalikan masalah dalaman PDRM mampu menyiasat dan menyelesaikan isu dibangkitkan Abdul Hamid itu.